Perbicaraan kes pegawai penyiasat polis di Ibupejabat Polis (IPD) Klang, yang didakwa menyebabkan kecederaan terhadap seorang pelajar ketika dalam tahanan polis Oktober tahun lalu, akan bermula 11 Julai depan.

Tarikh tersebut ditetapkan oleh Majistret Siti Noraida Sulaiman. Dalam kes itu, Inspektor Maurice Ahanggai dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Najmi Kamal Amir, 21, di bilik siasatan Unit Curi Harta Benda IPD Klang pada 6 Oktober tahun lalu.

Timbalan Pendakwaraya Azar Irwan Mohd Ariffin hadir bagi pihak pendakwa manakala Ahanggai diwakili peguam Kamaruddin Hassan yang hadir bagi pihak peguam Azizul Shariman Mat Yusoff.

Sangeet Kaur Deo pula hadir sebagai peguam pemerhati kepada Najmi Kamal.

Ahanggai, 25, dari Sabah, didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ikatjamin RM3,000

Bernama melaporkan, beliau merupakan pegawai penyiasat kes yang melibatkan Najmi Kamal, pelajar Kolej Universiti Islam Selangor, yang ditahan pada 5 Oktober tahun lalu kerana disyaki mencuri.

Pada 20 Februari lalu, Najmi Kamal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Klang terhadap tuduhan cuba mencuri komponen sebuah kereta kepunyaan seorang penjaga stor bengkel kereta di tempat letak kereta kawasan kedai Asia Auto, Kapar, Klang pada Oktober tahun lalu.

Majistret Mujib Saroji membenarkan Najmi Kamal dilepaskan dengan ikatjamin RM3,200 dan menetapkan 27 Mac ini untuk sebutan bagi melantik peguam.

Dakwaan Najmi Kamal sebelum ini kononnya dia dipukul dan dikenakan kejutan elektrik di lokap IPD Klang mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan ibu pejabat polis di Bukit Aman.