Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Pegawai Waytha jawab kekeliruan angka kematian di Kuala Koh

Pegawai kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy tampil menjelaskan kekeliruan berhubung angka kematian Orang Asli suku Bateq di Kampung Kuala Koh di Gua Musang, Kelantan.

Andrew Sagayam mengesahkan bahawa kematian melibatkan 14 Orang Asli suku itu tetapi 12 daripadanya tidak melalui proses bedah siasat.

Beliau berkata dua kematian yang diumum polis mungkin merujuk kepada kematian yang telah disahkan puncanya.

“Angka kematian ialah 14.

“Dua yang kita periksa (bedah siasat) telah disahkan (meninggal dunia akibat radang paru-paru),” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Ditanya sama ada bedah siasat akan dilakukan terhadap 12 mangsa yang lain, Sagayam tidak dapat mengesahkannya memandangkan hal itu kini di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan.

Waythamoorthy hari ini menghadiri sesi taklimat di Jabatan Kesihatan Kelantan, berkenaan kejadian yang melanda kampung Orang Asli itu.

Selepas taklimat itu, Waythamoorthy menjelaskan dua mangsa disahkan meninggal akibat radang paru-paru.

Bagaimanapun beliau memberitahu punca serangan penyakit tersebut setakat ini belum dapat dikenal pasti.

Penduduk kampung sebelum ini mendakwa serangan penyakit itu disebabkan pencemaran sumber air oleh lombong bijih besi berdekatan.

Semalam, Kementerian Kesihatan menjawab dakwaan 13 penduduk kampung meninggal dunia dalam masa sebulan dengan berkata bedah siasat yang dilakukan terhadap dua mayat, di Hospital Gua Musang.

Kedua-duanya disahkan mati akibat pneumonia.

“Kematian yang lain tidak dapat dipastikan kerana tidak pernah dilaporkan,” kata kenyataan itu.

Seorang lagi penduduk Orang Asli meninggal dunia pagi ini, menjadikan angka korban setakat ini sebanyak 14 orang. Mangsa turut mengalami simptom jangkitan paru-paru.

Lihat Komen
ADS