Asyraf bangkitkan kes libatkan pemimpin PH pada Latheefa
Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyarankan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru, Latheefa Koya memberi tumpuan kepada beberapa kes yang dikaitkan dengan pemimpin PH.
Beliau berkata ia dengan mempercepatkan atau membuka kembali siasatan kes-kes tersebut.
Ia bagi membuktikan kesungguhan Latheefa untuk membanteras rasuah di Malaysia, katanya lagi.
"...Maklumbalas yang diterima dari SPRM mengenai kes-kes ini sama ada 'masih dalam siasatan' atau 'tiada tindakan lanjut', seolah-olah disenyapkan," dakwanya dalam kenyataan hari ini.
"Maka bagi membuktikan kewibawaan dan integritinya selaku ketua pesuruhjaya SPRM yang baru, Pemuda Umno mendesak agar kes-kes ini dapat disegerakan tindakannya dan statusnya didedahkan kepada rakyat," katanya lagi.
Antara kes yang dibangkitkan Asyraf ialah dakwaan rasuah dan salah guna kuasa dalam projek terowong dasar laut Pulau Pinang dan pembelian banglo melibatkan bekas ketua menteri negeri itu, Lim Guan Eng.
Berkenaan projek terowong dasar laut, SPRM pada Mac lalu memaklumkan telah membuka enam kertas siasatan sejak 2017.
Menurut SPRM, lima kertas siasatan telah dirujuk kepada timbalan pendakwa raya - tiga daripadanya dikembalikan untuk siasatan lanjut manakala dua lagi dalam kajian timbalan pendakwa raya.
Dakwaan rasuah dalam projek itu, yang antara lain dibangkitkan blogger Raja Petra Kamarudin, dinafikan syarikat pemaju, Consortium Zenith Construction (CZC) dan Lim.
Bagi kes pembelian banglo pula, Mahkamah Tinggi George Town membebaskan Lim dan ahli perniagaan, Phang Li Koon selepas pihak pendakwaan menarik balik tuduhan.
Pada hari sama, SPRM dalam satu kenyataan menyatakan pihaknya "amat terkejut" dengan keputusan itu
Selain itu, Asyraf turut membangkitkan jumlah keanggotaan PKR yang naik mendadak menjelang pemilihan parti itu tahun lalu, serta dakwaan pembelian undi ketika pemilihan.
Beberapa lagi dakwaan yang dibangkitkannya adalah berkaitan setiausaha politik perdana menteri, Zahid Mat Arip yang disebut dalam pertuduhan terhadap bekas pengerusi Felda Mohd Isa Samad dan dakwaan transaksi RM800,00 melibatkan pegawai kepada menteri pertahanan.
Menurut kertas pertuduhan itu, Zahid menjadi perantara syarikat dengan Isa dalam pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation (FIC) Sdn Bhd.
Pada 14 Ogos lalu, SPRM mengesahkan sedang menyiasat pegawai Mohamad Sabu yang didakwa menerima RM800,000 daripada beberapa pihak untuk membantu menyelesaikan hutangnya.
Dalam kenyataan sama, Asyraf turut menyindir PH yang menurutnya "meneruskan tradisi dan konsistensi" dalam memungkiri janji manifestonya.
Lantikan Latheefa dipertikai sesetengah pihak, termasuk dalam PH sendiri, kerana melangkaui jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai lantikan awam.
Bagaimanapun terma rujukan jawatankuasa itu menunjukkan ia hanya berfungsi sebagai peneliti pelantikan awam utama seperti Suhakam, SPR, SPRM dan Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman.

