Saksi: Pengikut dakwa Ayah Pin pemimpin akhir zaman
Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu hari ini bahawa seorang pengikut Ariffin Mohamad atau Ayah Pin, 65, mendakwa ketua ajaran sesat itu adalah orang paling baik di dunia dan pemimpin akhir zaman.
Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu hari ini bahawa seorang pengikut Ariffin Mohamad atau Ayah Pin, 65, mendakwa ketua ajaran sesat itu adalah orang paling baik di dunia dan pemimpin akhir zaman.
Pegawai Penguatkuasa Syariah Dungun Yusoff Musa berkata, Wan Muhammad Husni Wan Bakar, 36, memberitahu perkara itu kepadanya semasa memberi keterangan di balai polis Kampung Raja, Besut, setelah ditahan dalam satu operasi pihak berkuasa di perkampungan "Kerajaan Langit" di Kampung Batu 13, Hulu Besut pada 20 Julai tahun lalu.
Katanya, Wan Muhammad Husni memberitahunya bahawa semasa berada di Raudah, Madinah pada 1994, beliau bermimpikan Ayah Pin (foto), yang pada ketika itu tidak pernah dilihat atau dikenalinya.
"Dia kata, selepas balik dari Mekah, dia terus cari lelaki yang muncul dalam mimpinya itu. Bila dia tanya orang, mereka kata lelaki itu tinggal di Kampung Batu 13 dan sejak 1999, dia terus menetap di perkampungan tersebut dan sangat rapat dengan Ayah Pin sehingga memanggilnya ayah.
"Dia juga berkata dalam mimpi itu, dia lihat wajah Ayah Pin berseri-seri. Tengkok bulan, bintang, nampak Ayah Pin belaka (sahaja)," katanya semasa memberikan keterangan pada perbicaraan 47 pengikut ajaran sesat Ayah Pin yang dituduh menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama kerana mengikuti ajaran itu.
Menurut laporan Bernama, mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut kira-kira jam 10.30 pagi di kawasan kediaman Ariffin di Kampung Batu 13, Hulu Besut, 20 Julai tahun lalu.
Mereka dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 10, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001, yang boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bina replika
Yusoff yang merupakan saksi ke-10 pendakwaan, berkata Wan Muhammad Husni juga menjelaskan bahawa isterinya Esah Mohamed, 42, sangat rapat dengan Ayah Pin sehingga menganggap ketua ajaran sesat itu sebagai bapa angkatnya.
Sementara itu, saksi kelapan pendakwaan, Mohd Iskandar Mohd Aziz berkata, pemilik tanah di perkampungan kerajaan langit itu, Che Minah Remeli, pernah membuat permohonan untuk mendirikan struktur bangunan di kawasan tersebut yang merupakan tanah pertanian.
Bagaimanapun beliau yang bertugas sebagai Penolong Pentadbir Tanah Daerah Besut, berkata permohonan Che Minah iaitu isteri pertama Ayah Pin, ditolak.
"Pemohon bagaimanapun telah mendirikan bangunan (rumah kediaman dan replika-replika gergasi) dahulu sebelum membuat permohonan tersebut," katanya.
Sementara itu, perbicaraan kes tersebut terpaksa dilewatkan hampir 30 minit kerana mahkamah terpaksa mencari bantuan bagi menjaga dua bayi, masing-masing berusia empat bulan dan satu setengah tahun, iaitu anak dua pasangan pengikut kumpulan ajaran sesat terbabit.
Hakim Mohamad Abdullah kemudiannya membenarkan seorang pengawal keselamatan dan seorang kakitangan mahkamah menjaga kedua-dua bayi tersebut selepas kedua-dua ibu bapa kanak-kanak itu berkata tiada orang hendak menjaga anak mereka manakala waris tinggal berjauhan.
Hakim bagaimanapun mengingatkan mereka supaya mencari jalan menyelesaikan masalah itu supaya perbicaraan kes tersebut dapat berjalan lancar esok.
Pendakwaan dijalankan oleh Ketua Pendakwa Syarie Mustafar Hamzah dan kesemua tertuduh diwakili peguam Saadiah Din.

