Tragedi Kuala Koh: TPM pengerusi mesyuarat tergempar
Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini mempengerusikan mesyuarat tergempar bagi membincangkan perkembangan terkini situasi masyarakat Orang Asli di Kuala Koh, Kelantan.
"Perkara melibatkan nyawa rakyat adalah isu besar yang perlu perhatian khusus dan tindakan menyeluruh.
"Setiap agensi terlibat akan memastikan isu ini ditangani sebaik mungkin demi kesejahteraan rakyat," katanya di Twitter.
Bagaimanapun tidak jelas apa hasil mesyuarat itu.
Gambar-gambar mesyuarat itu menunjukkan mereka yang hadir termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waythamoorthy, Menteri Alam Sekitar Yeo Bee Yin, dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mazlan Mansor.
Mesyuarat itu diadakan susulan kematian 14 penduduk Orang Asli di Kuala Koh.
Bedah siasat dijalankan ke atas dua mayat tetapi polis belum mengenal pasti punca sebenar kematian.
Kedua-duanya didapati menghadapi jangkitan dan meninggal akibat radang paru-paru.
Kampung tersebut telah ditutup kepada orang luar sementara menunggu keputusan ujian makmal.

