Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hari ini busuk sebusuknya - KJ
Diterbitkan:  Jun 12, 2019 11:20 AM
Dikemaskini: 4:41 AM

Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin menggesa rakyat Malaysia "mengalihkan pandangan" daripada berita buruk berkenaan politik negara.

Kenyataan itu susulan tersebarnya video seks yang menyasarkan seorang menteri serta pengakuan seorang lelaki yang mengatakan dirinya terlibat dalam video itu.

"Politik ialah profesion yang sukar. Ada kala ia kotor. Ada kala ia sangat kotor. Hari ini ia busuk sebusuknya (Today it stinks to the high heaven).

"Jika anda terlihat berita buruk berkenaan politik kita hari ini, alihkan pandangan. Hal seperti ini semakin marak apabila diberi perhatian," katanya menerusi Instagram Story hari ini.

Walaupun tidak menyebut secara khusus, kenyataan Khairy itu selepas tersebarnya klip video memaparkan dua lelaki berada di katil dalam keadaan intim, melakukan beberapa aksi seksual dengan salah seorang daripadanya kelihatan seperti menyerupai menteri kabinet tersebut.

Sekitar 1.25 pagi semalam, beberapa wartawan Malaysiakini dijemput menyertai dua kumpulan WhatsApp dinamakan “Jemputan Hari Raya ###” di mana tiga klip video tersebut dikongsikan.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan kesahihan klip video tersebut.

Awal pagi ini Setiausaha Sulit Kanan Shamsul Iskandar Md Akin, Haziq Abdullah Abdul Aziz membuat pengakuan bersumpah bahawa dia terlibat dalam aksi tersebut.

Dia mendakwa kejadian itu berlaku pada 11 Mei lalu i sebuah bilik hotel di Sandakan dan video itu dirakam tanpa kebenarannya.

Ahmad Fadhli Shaari

Naib Presiden Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari turut menyuarakan sentimen sama bahawa ia adalah permainan politik "tak beretika dan jijik" yang perlu dijauhi.

"Saya minta anak muda khususnya anggota PAS agar tidak terheret dalam politik kotor seperti ini.

"Jangan sebar video yang tidak sah kebenarannya, apatah lagi ia dibimbangi menjerumuskan kita ke dalam kesalahan membuat tuduhan zina dan homoseksual tanpa bukti, seperti yang diwajibkan dalam Islam," katanya menerusi rakaman audio Whatsapp.

Beliau berkata soal kesahihan video tersebut perlu diserahkan kepada pihak berkuasa.

Sementara itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) turut memberi peringatan sama dan mengingatkan tentang jenayah qazaf iaitu membuat tuduhan zina atau homoseksual tanpa empat saksi yang adil.

"Perbuatan menyebarkan video ataupun gambar perlu dielakkan sama sekali untuk mengelakkan umat Islam terjerumus dalam amalan keji yang tidak lain tidak bukan hanya untuk menjatuhkan air muka seseorang individu.

"Justeru Abim menyeru rakyat Malaysia menolak sama sekali amalan politik murahan yang keji seperti ini kerana ia hanya akan merosakkan moral masyarakat kita," kata setiausaha agungnya Muhammad Faisal Abdul Aziz dalam kenyataan.

Lihat Komen
ADS