Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

KATA MP | Ada pemimpin tertinggi parti ehem yang baru menang tanpa bertanding dalam muktmar partinya dilaporkan berasa pelik apabila mendakwa pemimpin parti PKR kepanasan dalam isu pelantikan seorang mantan pemimpin wanita parti itu mengetuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagi saya, jika orang PKR bercakap tentang mantan pemimpin mereka, ianya amat wajar. Tiada yang pelik.

Ia menunjukkan anggota dan pemimpin PKR amat peka apa yang berlaku pada parti mereka. Mereka mahukan parti itu bergerak ke hadapan dalam mempamerkan amalan yang terbaik (the best practices) dalam politik.

Lagipun, PKR bukan berbudaya macam parti ehem yang mungkin dilihat janggal jika pemimpin mereka ditegur secara terbuka.

Apa pun, jika orang PKR bising pada PKR, bagi saya ia amat logik. Apa yang tidak logik ialah apabila satu waktu dulu, orang parti ehem yang sibuk 'kepanasan' dan kacau kerusi menteri besar Selangor yang disepakati oleh Pakatan Rakyat (Pakatan) untuk direzabkan kepada PKR.

Saya hadir dalam mesyuarat jawatankuasa pusat parti ehem itu ketika pemimpinnya mencadangkan timbalan perdana menteri sekarang (Dr Wan Azizah Wan Ismail) sebagai calon nombor satu untuk jawatan menteri besar Selangor.

Semua orang setuju dengan cadangan tersebut. Ia merupakan mesyuarat paling pendek dalam sejarah parti ehem, setakat yang saya tahu.

Patut rasa pelik juga

Selepas beliau cadangkan dan dipersetujui, beliau juga yang kemudiannya tidak bersetuju dan tuduh macam-macam ke atas timbalan perdana menteri sekarang.

Apabila presiden Amanah sekarang bawa keputusan sebulat suara parti tersebut ke mesyuarat Pakatan, beliau pula yang dilabel menjadi "ayam daging". Tak pelik ke?

Tidak cukup dengan itu, kerusi menteri besar Selangor yang direzab untuk PKR pun parti ehem berusaha untuk merampasnya dengan menyerahkan nama dari parti mereka kepada sultan.

Selepas itu, berlakulah apa yang berlaku. Bermulalah siri melabel dengan ganas kami semua dengan pelbagai nama seperti jebon, barua, pengkhianat, melawan atau antiulama, anjing DAP-lah, peguam nerakalah, Anwarinaslah dan pelbagai gelaran lagi.

Jika pemimpin tertinggi parti ehem rasa pelik apabila anggota dan pemimpin PKR bising kepada parti mereka, tidakkah beliau juga patut rasa lebih pelik kerana parti beliau kini boleh bermesra dengan parti Umno.

Dengar khabar ada pemimpin parti ehem yang dah boleh rasmikan mesyuarat agung MIC.

Tidakkah pelik lagi apabila parti yang dulu amat kuat menentang kemungkaran BN, kini macam tidak rasa apa-apa dalam isu kleptokrasi 1MDB.

Tidakkah lebih pelik apabila kemuka saman sampai ke London, kemudian kutip sakan derma daripada anggota bawah, lepas itu tarik balik saman.

Yang lagi pelik: mula-mula dakwa sudah menang kemudian tarik balik saman, dan pihak yang "dah menang" itu pula membayar kos kepada pihak yang disaman.

Selepas tu, yang "dah menang" pula kena siasat oleh SPRM.

Ini bukan lagi pelik, tapi berbelit-belit!

PKR ada dalam keluarga besar PH. Kami mengamalkan roh demokrasi - bukan autokrasi - atas nama apa sekali pun.

Apa pun, baguslah parti ehem sokong pelantikan mantan pemimpin PKR sebagai orang nombor satu SPRM. Mana tahu kegembiraan itu berlanjutan apabila kes siasatan isu RM90 juta berakhir dengan pendakwaan di era orang nombor satu SPRM sekarang.


HANIPA MAIDIN ialah anggota parlimen Sepang merangkap timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Tulisan ini asalnya dimuat naik di media sosial beliau dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS