Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Nik Faisal tak maklum keputusan penting SRC pada lembaga pengarah'

KES NAJIB |  Perbicaraan kes rasuah Najib Razak melibatkan SRC International hari ini mendengar bagaimana lembaga pengarah syarikat itu didakwa tidak dimaklumkan mengenai beberapa keputusan penting berkaitan pengurusan kewangan pada 2011.

Menurut keterangan bekas pengerusi SRC International, Ismee Ismail, ahli lemaga pengarah tidak tahu-menahu mengenai kewujudan akaun AmIslamic Bank dengan nombor berakhir 736 atau pun mereka pernah dimaklumkan mengenai akaun itu oleh bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat Nik Faisal Ariff Kamil.

Katanya, Nik Faisal juga gagal memaklumkan mereka mengenai komunikasi CEO itu dengan Najib, Kementerian Kewangan dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) mengenai permintaan SRC International untuk memimjam RM3.95 bilion daripada KWAP.

Komunikasi ini didakwa terkandung dalam sepucuk surat daripada SRC International kepada perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu, Najib bertarikh 3 Jun 2011.

Ismee dalam keterangannya berkata, hal ini termasuklah dakwaan menyembunyikan fakta bahawa KWAP membuat tawaran untuk pinjamannya dijamin 1MDB sebagai penjamin korporat.

Ismee bersetuju dengan cadangan peguam bela Harvinderjit Singh bahawa Nik Faisal dan seorang lagi penanda tangan bagi akaun "736", Sharul Azral Ibrahim Halmi "tidak bercakap benar" kepada lembaga pengarah SRC.

Ismee turut bersetuju dengan peguam bahawa lembaga pengarah tidak dimaklumkan mengenai pengeluaran RM2 bilion pinjaman dari KWAP yang disalurkan ke dalam akaun "736" pada 29 Ogos 2011.

Pada prosiding perbicaraan terdahulu, pengurus cawangan Ambank Jalan Raja Chulan R Uma Devi memberi keterangan bahawa RM2 bilion mengalir melalui empat bahagian pemindahan iaitu RM500 juta pada setiap satunya ke dalam akaun 736 pada 29 Ogos 2011.

Harvinderjit: Tiga hari selepas mesyuarat pada bulan Ogos 2011 dengan (lembaga pengarah) SRC International, Nik Faisal menandatangani surat untuk KWAP mengeluarkan pinjaman RM2 bilion itu. Akaun yang digunakan untuk tujuan itu adalah akaun 736.

Ismee: Ya.

Harvinderjit: Kami melihat pelanggaran yang lebih serius (di sini). Lembaga pengarah tidak pernah diberitahu mengenai langkah pemindahan RM2 bilion ke dalam akaun yang tidak diketahui olehnya.

Ismee: Ia kelihatan begitu.

Ismee juga bersetuju dengan dakwaan Harvinderjit bahawa akaun "736" dibuat pada Januari 2011 ketika syarikat itu hanya terdiri daripada dua pengarah, Nik Faisal dan seorang yang dikenalpasti sebagai Vincent Beng Huat Koh.

SRC International membentuk lembaga pengarahnya pada Ogos 2011 dengan Ismee menjadi pengerusinya.

Perbicaraan bersambung esok di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS