Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Haziq digantung tugas serta-merta
Diterbitkan:  Jun 13, 2019 3:28 PM
Dikemaskini: 8:03 AM

Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mendakwa terlibat dalam aksi lucah bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali telah digantung tugas-tugasnya sebagai setiausaha sulit kanan kepada timbalan menteri industri utama berkuatkuasa serta merta.

Menurut timbalan menteri itu, Shamsul Iskandar Md Akin surat tunjuk sebab telah dikeluarkan dan Haziq mesti menjawapnya dalam tempoh tiga hari bermula 12 Jun lalu

“Kementerian tidak teragak-agak untuk menamatkan kontrak perkhidmatan beliau secara serta-merta jika tiada sebarang maklum balas diterima dalam tempoh yang diberikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Haziq Abdullah Abdul Aziz

Azmin menafikan perkara itu, mendakwa terdapat komplot untuk menjatuhkannya serta mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang.

Shamsul berkata, keputusan itu diambil memandangkan beliau memandang serius berhubung “perkembangan terkini” melibatkan pegawainya di kementerian tersebut dan menolak sebarang politik kotor.

“Saya dengan tegas menolak sebarang bentuk politik kotor lagi memualkan yang bertujuan memalitkan imej buruk kepada mana-mana pemimpin ataupun individu.

“Saya mengambil sikap bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam bahawa perkara ini ada kaitan dengan pihak-pihak yang mempunyai agenda politik tertentu.

“Permainan politik kotor sebegini tidak perlu ada ataupun diberikan ruang di dalam Malaysia,” katanya.

Semalam, Haziq membuat pengakuan bersumpah bahawa dia terlibat dalam aksi atas ranjang bersama Azmin.

Pengakuan itu dibuat sehari selepas video yang didakwa berlaku pada 11 Mei 2018 itu tular di kalangan pemberita dan ahli politik.

Bagaimanapun, Shamsul menyeru supaya semua pihak mencari kepastian tentang sesuatu perkara tanpa cepat menuding jari terhadap mana-mana pihak.

Namun, Azmin yang juga merupakan timbalan presiden PKR itu semalam menafikan bahawa dirinya terbabit dalam video lucah yang sedang beredar di media sosial dan menyifatkannya sebagai komplot jahat untuk menamatkan kerjaya politiknya.

Mahathir juga menolak video berkenaan sebagai palsu, dan mendakwa bahawa mereka di sebaliknya mempunyai motif politik.

Lihat Komen
ADS