Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri sedang meneliti permohonan lesen sebuah syarikat perlombongan bijih mangan berhampiran kawasan penempatan Orang Asli di Kuala Koh, Gua Musang.

Jelas Ahmad, sekiranya syarikat itu melanggar peraturan sebelum ini, kerajaan negeri akan bertindak.

"Sebenarnya kita pernah keluarkan lesen kepada satu syarikat, bukan lombong besi tetapi mangan yang tidak menggunakan air dan ia memohon (lesen) dipanjangkan.

"Kita sedang perhati laporan akhir itu dan membuat kajian, kalau tak ikut kepatuhan kepada peraturan maka Pejabat Tanah dan Galian (PTG) sudah semestinya akan bertindak," katanya ketika ditemui media pada majlis Rumah Terbuka PAS Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan wujud aktiviti perlombongan haram berhampiran kawasan penduduk Orang Asli suku Bateq di Kuala Koh, yang kini berdepan penyakit misteri yang belum diketahui puncanya.

Terdahulu, 14 penduduk suku Bateq kawasan itu dilaporkan meninggal dunia dan sehingga kini pihak berkuasa masih menyiasat punca kematian tersebut.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Raja Shah Puji menyatakan kawasan penempatan suku Bateq itu berhampiran dengan kawasan perlombongan bijih mangan.

Kewujudan lombong berkenaan dikhuatiri mempunyai kaitan dengan punca yang menyebabkan penyakit sekali gus sebagai punca kematian penduduk Orang Asli tersebut.

Sementara itu, Ahmad berkata kerajaan negeri turut bersimpati dengan nasib yang menimpa penduduk Orang Asli tersebut dan melalui mesyuarat pada 10 Jun lalu mengarahkan agar kawasan itu ditutup kepada orang awam.

"Hanya pasukan keselamatan dan kesihatan sahaja yang dibenarkan masuk ke kawasan yang terkena jangkitan kuman pernafasan malah polis juga sudah mengisytiharkan ia sebagai zon merah.

"Maknanya untuk sebarang bantuan mesti dilakukan menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan sebarang kenyataan berhubung apa berlaku hanya dibenarkan kepada petugas keselamatan sahaja supaya tindakan seragam," katanya.

Tambah anggota dewan undangan negeri (Adun) Pasir Pekan itu, pihaknya sedang menunggu sebarang keputusan daripada hasil kajian pihak berwajib.

"Kita sedang lihat dengan penuh tanggungjawab bahawa mereka ini dibantu sepenuhnya, apa pun kita tunggulah keputusan kajian dibuat untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Lihat Komen
ADS