Zainuddin tutup mulut berhubung dua isu panas
Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) belum membuat kata putus samaada akan memohon maaf atau tidak terhadap kesilapannya menyiarkan karikatur mempersendakan Nabi Muhammad S.A.W pada awal bulan lalu.
Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) belum membuat kata putus samaada akan memohon maaf atau tidak terhadap kesilapannya menyiarkan karikatur mempersendakan Nabi Muhammad S.A.W pada awal bulan lalu.
Stesen-stesen televisyen swasta, TV3 dan ntv7 telahpun memohon maaf secara terbuka terhadap kertelanjuran menyiarkan karikatur berkenaan pada Khamis lalu.
Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin enggan mengulas apabila ditanya berhubung tindakan memohon maaf yang sepatutnya dibuat oleh RTM setelah segmen Berita Mandarin TV2nya menyiarkan karikatur yang menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia itu.
"Saya tak mahu kata apa-apa. Nanti dulu lah....tunggu lah.... sabar lah. Esaok masih ada..kan?" katanya bila diasak oleh para wartawan selepas majlis sidang media Anugerah Seri Angkasa di Angkasapuri.
Zainuddin berkata, beliau tidak mahu mempolitikkan isu tersebut dan para pegawai kementerian telahpun mengulas mengenainya.
Malaysiakini sebelum ini telah memperolehi klip video Berita Mandarin TV2 pada 3 Februari menyiarkan gambar seorang lelaki membaca akhbar berbahasa Sepanyol yang menyiarkan imej karikatur kontroversi itu.
Minggu lalu Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Abdul Rahman Hamid memberitahu malaysiakini bahawa setakat ini RTM belum bercadang mengikut jejak stesen televisyen lain yang memohon maaf secara terbuka ke atas kesilapan menyiarkan karikatur Nabi Muhammad S.A.W itu.
Menyentuh rungutan Timbalan Presiden MIC, Datuk Subramaniam bahawa RTM kurang memberi liputan kepadanya, Zainuddin berkata, beliau akan membiarkan para pegawainya menguruskan perkara itu.
"Saya tidak mahu menjawabnya, biar para pegawai saya menjawabnya. Ini satu isu politik. Kalau saya menjawabnya, saya akan mempolitikkan isu ini," tekan beliau.
Subramaniam baru-baru ini menyatakan keinginannya untuk bertemu Menteri Penerangan untuk membincangkan perkara tersebut.
Beliau yang akan mempertahankan jawatan Timbalan Presiden MICnya dalam pemilihan parti itu pada Jun ini diketahui umum mempunyai hubungan yang renggang dengan ketuanya, Datuk Seri S Samy Vellu.

