Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ulama PAS jawab dakwaan 'tunggang' agama'
Diterbitkan:  Jun 14, 2019 4:34 PM
Dikemaskini: 9:16 AM

Meskipun tidak mengakuinya secara langsung anggota Jawatankuasa Pusat PAS Mokhtar Senik memberitahu, tidak mudah untuk seseorang menjadi 'penunggang agama'.

Kata bekas pemimpin Dewan Ulama PAS Pahang itu agak sukar untuk menjadi orang yang 'menunggang agama' kerana ia memerlukan langkah berhati-hati.

"Kami menunggang agama. Itu agak sukar kerana terpaksa pilih-pilih yang halal sahaja," katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Sebaliknya kata Mokhtar pihak yang menuduh PAS menunggang agama lebih mudah bergerak dalam politik berbanding mereka.

Kata Mokhtar pihak yang memusuhi PAS sanggup untuk menunggang apa saja termasuk babi kerana mereka tidak memerlukan pertimbangan agama semasa membuat keputusan.

"Kamu lebih mudah. Menunggang apa sahaja (pun) boleh. Kalau kebetulan ada khinzir pun, boleh. Maka tunggang sahaja. Sebab kamu tak guna agama," katanya.

Terdahulu Mokhtar mengulas mengenai kecaman yang banyak digunakan oleh pihak yang tidak sehaluan dengan PAS.

Semua ada dalil

Sebelum ini pengkritik melabel anggota dan pemimpin parti itu sebagai penunggang agama kerana melihat banyak keputusan PAS tidak konsisten namun diberikan justifikasi menggunakan hujah agama.

Salah satu punca kecaman itu ialah pendirian PAS yang berubah-ubah semasa menjalinkan hubungan dengan parti lain.

Untuk rekod sebelum ini PAS bersama-sama DAP membentuk Pakatan Rakyat bagi menghadapi BN. Hasil melalui kerjasama itu gabungan berkenaan - yang turut disertai PKR - berjaya mengalahkan BN di beberapa negeri termasuk Selangor.

Bagaimanapun menjelang PRU ke-14 lalu PAS bersikap memusuhi DAP - dan Amanah yang dilabel mereka sebagai kuda tunggangan DAP - sebaliknya berbaik-baik dengan Umno.

Selepas gagal menjadi king maker, PAS menjalin kerjasama secara rasmi dengan Umno, iaitu parti utama dalam gabungan BN.

Kata Mokhtar sebelum ini ada orang yang menyindir beliau dan menganggap mudah benar menjadi anggota atau penyokong PAS.

"Nak berbaik dengan DAP ada dalilnya, nak bermusuh dengan DAP ada dalilnya pula.

"Nak bermusuh dengan Umno ada dalilnya, dan nak berbaik dengan Umno juga ada dalilnya," katanya.

Lihat Komen
ADS