RON97 turun 22 sen, RON95 dan diesel kekal
Harga runcit bagi petrol RON97 turun sebanyak 22 sen mulai jam 12 tengah malam ini menjadikan bahan api itu kini berharga RM2.41 seliter berbanding RM2.63 seliter minggu lalu.
"Penurunan ini adalah berikutan harga produk petroleum yang diproses (refined product) di pasaran dunia yang telah menunjukkan trend penurunan susulan penurunan purata harga minyak mentah Brent berbanding minggu sebelumnya," jelas menteri kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Lim, harga RON95 dan diesel pula kekal tidak berubah dari minggu lepas, masing-masing pada harga RM2.08 dan RM2.18 seliter.
Berdasarkan pengiraan di bawah formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya adalah sebanyak RM2.11 seliter dan RM2.19 seliter masing-masing.
"Namun harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat," jelasnya.

