Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menafikan dakwaan bapa Haziq Abdullah Abdul Aziz bahawa polis menceroboh masuk ke rumahnya semalam.

Menurut Ketua Polis daerah Kuching, Awang Din Awang Gani, pihak polis masuk ke rumah Abdul Aziz Ibrahim melalui pagar yang tidak berkunci selepas memanggil beberapa minit dan tidak menerima sebarang jawapan.

Abdul Aziz merupakan bapa Haziq- individu yang baru-baru ini menggemparkan negara susulan pendedahan mengenai klip video seks yang didakwa turut membabitkan seorang menteri.

Menurut Awang, IPD Kuching menerima arahan daripada Unit Siasatan Jenayah terkelas Bukit Aman kira-kira jam 3.39 petang untuk mengesan dan merakam percakapan Haziq serta keluarganya.

“Setelah sampai ke pintu rumah tersebut dan memanggil penghuni rumah keluar, barulah En Aziz muncul dan membuka pintu.

"Pegawai kanan polis yang mengetuai pemeriksaan tersebut telah mmperkenalkan diri [...] dan menunjukkan kad kuasa polis serta memaklumkan tujuan kehadiran [...],” katanya dalam kenyataan media.

Tambahnya lagi, kesemua anggota polis dijemput masuk oleh Aziz, isteri dan kakak iparnya malah kesemua mereka memberikan kerjasama yang baik termasuk membenarkan polis memeriksa rumah untuk mengesan Haziq.

Katanya, polis turut merakam percakapan Aziz sebelum individu berkenaan membuat satu laporan polis di IPD Kuching pada jam 5.09 petang.

“IPD Kuching menegaskan bahawa pemeriksaan yang dijalankan adalah mematuhi prosedur standar operasi (SOP) yang telah ditetapkan dan menafikan terdapat sebarang elemen salah guna kuasa semasa tindakan diambil oleh pihak polis,” katanya.

Selain itu, Awang Din turut mengesahkan IPD Kuching telah menerima laporan polis dibuat Aziz berkenaan dakwaan pecerobohan rumah beliau oleh sepasukan polis dari Bukit Aman.

Haziq merupakan individu yang mengaku terlibat sebagai salah seorang lelaki dalam video seks sejenis yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali yang tersebar sejak 11 Jun.

Azmin bagaimanapun menafikan dirinya adalah seorang lagi lelaki dalam video itu.