Saya terpaksa bayar harga yang mahal: Ahmad Zahid
wawancara
Ramai menyangka kerjaya politik bekas Ketua Pemuda Umno Malaysia, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, sudah berakhir selepas pemecatan Anwar Ibrahim daripada Umno dan Kerajaan pada tahun 1998. Sewaktu perhimpunan agung Umno pada bulan Jun 1998, Hamidi telah menuduh kerajaan mengamalkan nepotisme dalam pemberian projek penswastaan kepada syarikat-syarikat raksasa bumiputera.Tindakan kerasnya itu dilihat sebagai satu "serangan" terhadap kepimpinan Dr Mahathir Mohamad kerana Hamidi adalah penyokong kuat Anwar Ibrahim, yang sewaktu itu Timbalan Presiden Umno.
Berikutan itu, Mahathir selaku Presiden Umno mengeluarkan senarai syarikat dan individu yang memperoleh projek-projek penswastaan dan kontrak kerajaan yang turut menyenaraikan nama Hamidi sebagai salah seorang penerimanya.
Pada 20 September 1998, Anwar ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selepas berlaku perhimpunan membantah penyingkirannya daripada kerajaan dan Umno. Pada hari berikutnya Hamid turut ditahan di bawah ISA bersama dengan empat pemimpin utama Angkatan Belia Islam Malaysia. Bagaimanapun, kelima mereka dibebaskan tanpa syarat pada 30 September 1998.
wawancara
Ramai menyangka kerjaya politik bekas Ketua Pemuda Umno Malaysia, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, sudah berakhir selepas pemecatan Anwar Ibrahim daripada Umno dan Kerajaan pada tahun 1998. Sewaktu perhimpunan agung Umno pada bulan Jun 1998, Hamidi telah menuduh kerajaan mengamalkan nepotisme dalam pemberian projek penswastaan kepada syarikat-syarikat raksasa bumiputera.Tindakan kerasnya itu dilihat sebagai satu "serangan" terhadap kepimpinan Dr Mahathir Mohamad kerana Hamidi adalah penyokong kuat Anwar Ibrahim, yang sewaktu itu Timbalan Presiden Umno.
Berikutan itu, Mahathir selaku Presiden Umno mengeluarkan senarai syarikat dan individu yang memperoleh projek-projek penswastaan dan kontrak kerajaan yang turut menyenaraikan nama Hamidi sebagai salah seorang penerimanya.
Pada 20 September 1998, Anwar ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selepas berlaku perhimpunan membantah penyingkirannya daripada kerajaan dan Umno. Pada hari berikutnya Hamid turut ditahan di bawah ISA bersama dengan empat pemimpin utama Angkatan Belia Islam Malaysia. Bagaimanapun, kelima mereka dibebaskan tanpa syarat pada 30 September 1998.
Setelah melepaskan jawatan ketua pemuda Umno Malaysia, Hamidi telah terpinggir daripada arus perdana Umno. Bagaimanapun, dalam pilihanraya yang lalu, Hamidi dipilih semula untuk bertanding dan memenangi kerusi Parlimen Bagan Datoh, Perak. Tindakan itu mengejutkan ramai kalangan politik. Dan dalam pemilihan parti bagi sessi 2000-2003, Hamid sekali lagi mengejutkan apabila dia terpilih menganggotai Majlis Tertinggi Umno, dengan mendapatkan undi ketiga terbanyak.
Malaysiakini telah mengadakan wawancara ekslusif dengan Hamidi untuk meninjau perkembangan terkini dirinya selepas melalui pahit maung dalam perjuangan politiknya. Hamidi menyifatkan beliau terpaksa membayar harga yang terlalu mahal terhadap apa yang telah berlaku dalam kerjaya politiknya.
Apakah pengalaman pahit itu telah menjejaskan rentak perjuangannya? Apakah pengalaman itu telah membuatnya lebih matang dalam menghadapi karenah politik dalam usianya yang sudah menjangkah 40-an? Ikuti wawancara dengan beliau di bawah.
Malaysiakini: Datuk sekarang diam sahaja dalam politik. Apa yang Datuk buat sekarang?
Saya banyak belajar dalam dua makna, pertama belajar dari segi akademik. Saya sedang menghabiskan penyelidikan untuk tesis PhD saya dalam bidang komunikasi politik di Universiti Putra Malaysia (UPM). Yang kedua saya belajar dari segi politik, muhasabah merenung diri mengenai kesilapan-kesilapan yang telah saya lakukan dan tidak sepatutnya saya ulangi lagi. Itu mengambil proses yang panjang rupanya. Dan harga yang saya bayar adalah terlalu mahal terhadap apa yang telah berlaku dalam kerjaya politik saya.
Ia memerlukan renungan semula ke arah masa depan yang saya anggap tidak positif untuk diri saya. Secara peribadi, pembentukan untuk generasi lebih penting daripada pembentukan kerjaya politik untuk saya sebab generasi baru lebih terdedah kepada maklumat dengan tanpa sekatan melalui agenda media kerana sistem komunikasi yang ada sekarang tidak mencampuradukkan soal agenda.
Sekarang ia lebih telus. Mana yang benar dilapor secara benar, mana yang tidak benar dilaporkan secara tidak benar. Kerana akhirnya penerimanya akan membuat keputusan, bukan media yang membuat keputusan.
Dalam soal ini sebagai seorang yang terlibat dalam dunia politik dan komunikasi, maka saya mahu melihat pembentukan generasi kita mesti lebih terdedah kepada satu kenyataan yang harus ditelan sebagai kebenaran dan harus diluahkan sebagai kebenaran dan bukan disogok dengan maklumat-maklumat yang tidak boleh ditelan mereka. Dan jika boleh ditelan pun secara paksa dan sesuatu yang pahit untuk diterima. Itu tidak baik.
Apakah tafsiran Datuk mengenai pemilihan Datuk dalam Majlis Tertinggi?
Saya tidak ada kelebihan berbanding dengan orang lain. Saya hanya dapat simpati daripada kawan-kawan dan Umno; memang pelik sedikit sebab bila Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dibuang (daripada Umno) semasa (zaman) Tuanku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak Hussein selamatkan beliau dan beliau menawarkan diri (sebagai calon) dalam Majlis Tertinggi, perwakilan ketika itu tidak menolak Dr Mahathir.
Malah dia mendapat undi yang tertinggi. Dan kita tahu Datuk Abdullah Ahmad Badawi terpinggir sebentar daripada Kabinet, tetapi jelas apabila menawarkan diri semula selepas kecundang sebagai naib presiden, beliau diterima dengan baik oleh para perwakilan. Sekali lagi Umno pelik.
Dan saya juga jadi pelik sebab Umno sebagai organisasi tidak berubah dan perwakilan sebagai sebuah kelompok juga tidak berubah. Apa yang saya lihat, Umno perlukan mereka yang mempunyai prinsip perjuangan bersama-sama kepimpinan.
Saya tidak mengatakan orang lain tidak ada prinsip tetapi menghargai seseorang itu bukan kerana apa jenis habuan yang dapat diberikan, di mana ada gula di situ ada semut, tetapi mereka melihat nilai-nilai yang ada di sebalik penyingkiran yang telah dialami oleh seseorang itu.
Kerana apabila sesuatu peristiwa itu berlaku, ia telah melalui satu proses penghadaman yang panjang, dan selepas penghadaman itu inilah hasil terakhir yang akan diketengahkan. Itu analisis saya... mungkin tidak betul.
Datuk juga dianggap seperti 'kembar' kepada ahli Majlis Tertinggi Datuk Shahrir Samad kerana 'nada' datuk berdua seperti seirama dalam melihat sesuatu isu?
Saya tidak mengharap ada kembar dalam perjuangan politik saya, apatah lagi saya mahu menentang. Saya mempunyai kelemahan dalam mengatakan sesuatu yang benar. Sebab saya dididik dan dilatih oleh ibu bapa saya dan juga oleh guru-guru saya di peringkat sekolah agama dahulu, supaya menyatakan sesuatu yang benar walaupun pahit.
Inilah yang saya terjemahkan. Tetapi kalau harga yang mahal itu terpaksa saya bayar juga, saya terpaksa bayarlah tetapi tentulah dalam usia yang hampir 40 ini saya haruslah lebih matang dan lebih berhati-hati dalam melontarkan pendapat. Saya kira pendekatan dulu saya tidak boleh gunakan lagi sebab saya mempunyai saluran yang boleh disampaikan dan media bukan satu-satunya saluran untuk saya menyatakan pendapat. Banyak lagi saluran rasmi dan tidak rasmi yang boleh saya pergunakan.
Tadi Datuk kata Umno tidak berubah tetapi jika dilihat dari segi komposisi perwakilannya dulu ramai guru, tetapi sekarang sudah kurang. Mengapa Datuk kata Umno itu masih tidak berubah?
Umno sebagai sebuah organisasi itu tidak pernah berubah dari segi prinsip perjuangannya sebab Umno bukanlah sebuah parti ideologi. Umno tidak ada ideologi tetapi Umno ada label atau tagline perjuangannya untuk agama, bangsa dan negara. Dan ini tidak pernah berubah, walaupun perwakilan dari segi kerjaya dan dari segi kumpulan profesionalnya berubah, tetapi set mindanya tidak berubah.
Ertinya mereka yang pernah ditolak pun tetapi jika masih dianggap boleh menyumbang kepada organisasi itu, diterima. Kita lihat trend dalam PAS pun begitu juga. Di zaman Zulkifli Mohamad, di zaman Burhanuddin Helmi, soal kafir-mengkafir ini wujud, soal dua imam wujud.
Saya baca buku-buku sejarah perjuangan PAS. Ini juga isunya sekarang. Ertinya PAS juga tidak berubah. Yang berubah orangnya. Mungkin kini PAS lebih terbuka kepada orang yang mempunyai latarbelakang akademik, dulu lebih berlatar belakangkan keagamaan. Tetapi prinsip perjuangan PAS untuk mewujudkan sebuah negara Islam tidak pernah berubah.
Begitu juga dalam Umno. Dalam konteks ini saya lihat bahawa kepimpinan harus dilihat dari peringkat akar umbi, bahagian dan di peringkat yang lebih tinggi daripadanya supaya dapat disesuaikan dengan citarasa rakyat banyak sebab kita tidak boleh menggunakan pendekatan yang sama sebab zaman telah berubah. Masyarakat lebih berpendidikan. Walaupun lebih ramai yang berpelajaran tetapi kurang berpendidikan.
Pada keseluruhannya kita lihat sejarah. Apa yang berlaku di Indonesia pada zaman dasar liberalisme dan dasar etika di mana Belanda memberikan sogokan sistem pendidikan kepada rakyat Indonesia. Akhirnya rakyat Indonesia yang menjadi golongan cendiakawan seperti Radin Ajin Kartini dan Omar Chakroaminato menjadi pemimpin utama yang sesuai dengan kehendak rakyat ketika itu untuk menentang Belanda.
Di dalam keadaan ini, apa yang disogokkan oleh kerajaan kepada rakyat harus ditimba lagi sebagai satu aset, bukan satu liabiliti kepada kerajaan. Dan ini harus diterjemahkan dengan baik. Maka ini harus kita terima sebagai satu kenyataan, sebagai satu putaran hayat yang harus kita terima.
Ada yang berpendapat Umno kini bertumpu kepada wanita, khususnya dengan penubuhan Puteri Umno, bagi mengimbangi hakisan pengaruhnya di kalangan pemuda yang cenderung kepada pembangkang.
Penghakisan pengaruh Umno sebagai sebuah organisasi bukan disumbangkan oleh faktor luaran. Faktor dalaman menjadi pemangkin penting untuk penghakisan pengaruh ini sebab ada di kalangan kepimpinan kita di cawangan, apatah lagi di bahagian yang rasa gusar apabila golongan iktisas, golongan yang berkelayakan ini mahu menyumbangkan diri di peringkat kepimpinan.
Maka mereka ini terpinggir daripada memegang jawatan, hatta untuk menjadi ahli pun susah. Golongan muda juga dikhuatiri untuk mengambil alih kepimpinan bahagian. Kebanyakan bekas ketua pemuda bahagian mahu terus menyumbang dan mereka tidak diberikan peluang dan disingkirkan.
Kemudian yang lama, di peringkat akar umbi telah jadi war lords . Bila sudah jadi war lords tidak adalah lagi dasar buka pintu. Jadi bilakah masa hendak meremajakan struktur organisasi kepimpinan di peringkat akar umbi? Maka apa alternatif yang orang ini ada kerana manusia cara keseluruhannya mahu berorganisasi.
Oleh itu mereka mencari alternatif yang terbuka pintu, yang terlorong jalannya, iaitu parti pembangkang, terutama PAS. Jadi mereka menuju ke arah itu. Pintu sentiasa terbuka, tangga disediakan. Tidak dengan Umno. Sekarang, Puteri Umno menjadi satu wadah baru untuk menarik golongan profesional wanita muda masuk parti.
Jadi saya fikir jangan harus dilihat agenda memperolehi pengaruh di kalangan wanita untuk mengukuhkan Umno pada keseluruhannya hanya pada Puteri. Wanita pada keseluruhannya juga merupakan satu organisasi yang kukuh. Puteri hanya mengukuhkan semula apa yang Wanita telah lakukan.
Kita harus menghargai apa yang mereka lakukan. Dan saya yakin muslimat PAS pun melakukan perkara yang sama. Dulu pendekatan muslimat PAS ialah berada di tabir belakang, sekarang ini muslimat PAS telah berada di garisan hadapan dengan adanya Dr Lo Lo Ghazali sebagai anggota Dewan Kepimpinan Pusat PAS.
Dan yang harus kita terjemahkan dengan baik ialah mereka yang menjadi golongan pelapis harus dinilai dan dihargai untuk diketengahkan kerana mereka ini akan menyumbangkan dengan pendekatan yang proaktif, bukan dipinggirkan dan akhirnya menjadi liabiliti kepada parti.
Bagaimana pula dengan tindakan jawatankuasa disiplin Umno?
Sebenarnya Umno tidak perlu jawatankuasa disiplin pun kerana kita telah meminda perlembagaan dan kita ada perhimpunan agung khas untuk menangani permasalahan ini. Jawatankuasa disiplin ini hanya formaliti sahaja. Disiplin sebenarnya bukan terletak pada peraturan yang tercatat dalam perlembagaan atau peraturan mesyuarat. Disiplin sebenarnya ada dalam hati kita. Ada dalam minda kita.
Kalau mahu melihat parti ini terus memerintah maka itulah yang harus diterjemahkan. Bukan mencari kekurangan atau loopholes yang tidak tercatat dalam peraturan itu. Jadi kalau mahu melihat Umno menjadi pembangkang, letakkan peraturan apa pun... apa pun tindakan yang akan dilakukan maka itulah yang harus kita terima.
Maka dalam perkara ini, bukan mesyuarat cawangan atau bahagian yang harus dipantau itu dan ini. Itu semua di atas kertas. Jika kita mahu kekal untuk agenda orang Melayu, untuk mengekalkan kuasa atas makna yang sebenarnya, Umno harus berubah di semua peringkat, dari segi set mindanya, dari segi tingkah lakunya, harus berubah.
Macam mana orang Umno sekarang?
Tidak ada disiplin. Saya tidak berani kata semua peringkat, tetapi yang penting disiplin dalam diri itu sudah terhakis. Dr Mahathir cakap banyak kali dah.
Kalau ahli mengadu, mereka dianggap ada komplot, tetapi apabila masalah itu disuarakan dari luar parti, ia dianggap ditujukan kepada Umno sebagai sebuah parti, bukan lagi mengenai soal kepimpinannya.
Jangan salahkan Umno dalam hal ini. Apa jadi pada kepimpinan di peringkat akar umbi dalam parti DAP yang tidak setuju dengan Lim Kit Siang? Atau dengan Dr Chen Man Hin? Orang-orang ini terpinggir daripada arus perdana partinya.
Apa jadi dengan beberapa kepimpinan PAS yang tidak setuju dengan kepimpinan peringkat pusat? Mereka juga terpinggir. Hatta yang tidak setuju dengan keadilan sekalipun terpinggir. Jadi jangan salah ini sebagai satu trend dalam Umno.
Ia berlaku dalam semua organisasi. Saya pernah terpinggir kerana saya dianggap menentang kepimpinan parti. Sebenarnya saya tidak menentang, hanya memberikan ingatan tetapi apabila salah tafsiran berlaku itu mengakibatkan saya terpinggir buat sementara waktu.
Tetapi saya mementingkan organisasi, saya tidak penting individu, maka saya berada di arus perdana semula. Jadi trend ini jangan salahkan Umno, semua organisasi begitu. Asalkan organisasi politik, itulah bentuknya.
Mengapa penekanan sekarang diberikan kepada Puteri Umno, bukan Pemuda Umno?
Lama sebelum wujud Puteri Umno, Putera Umno sudah wujud. Itulah matlamatnya, itulah tujuannya. Mana sudah pergi belia putera ini? Ia di bawah pemuda Umno yang diilhamkan oleh saya sendiri (sewaktu memimpin pemuda). Awak kena tanya dengan ketua pemuda sekarang apa dah jadi dengan putera Umno. Sebelum ini beberapa ribu telah menganggotainya. Sekarang dalam keadaan "ada dan tiada".

