Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

MUKTAMAR PAS | Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ir Khairil Nizam Khirudin dijangka akan dinobatkan selaku ketua baru sayap parti itu pada muktamar tahunan PAS mereka minggu depan.

Menurut sumber PAS, Khairil Nizam merupakan calon tunggal yang menawarkan diri bagi mengisi jawatan yang dikosongkan penyadangnya, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Anak presiden PAS itu memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatannya untuk memberi muka baru menerajui pemuda.

"Setakat ini dan hampir pasti, Khairil akan diangkat sebagai ketua pemuda PAS, dia menang tanpa bertanding," katanya kepada Malaysiakini.

Sumber itu juga memberitahu selain ketua, dua lagi jawatan tertinggi pergerakan itu - timbalan dan naib ketua - juga dimenangi tanpa bertanding.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat, Dr Mohd Fuad Mohd Salleh pada 9 Jun lalu mengumumkan jawatan presiden, timbalan presiden dan ketua Muslimat, Pemuda dan Ulama PAS Pusat dimenangi tanpa bertanding.

Pada pemilihan sayap parti itu pada tahun 2013, Khairil berjaya menenangi kerusi naib ketua dewa pemuda PAS.

Beliau kemudian meningkat lebih tinggi apabila diangkat sebagai timbalan kepada Muhammad Khalil pada tahun 2017.

Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat akan berlangsung pada 19 hingga 20 Jun di Pusat Konvensyen Bukit Gambang Resort City.

Dalam pada itu, sumber memberi tahu pemilihan Khairil mendapat sokongan penuh pemimpin sayap parti berkenaan.

Katanya, Pemuda PAS yakin Muhammad Khairil mampu meneruskan perjuangan sayap parti itu seperti pemimpin sebelum ini.

Muhammad Khalil memegang jawatan ketua dewa pemuda PAS selama satu penggal selepas mengambil alih teraju kepemimpinan daripada Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Pada pemilihan kali ini, Muhammad Khalil menawarkan diri untuk merebut kerusi ahli jawatankuasa PAS pusat.

Lihat Komen
ADS