Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Wanita PKR hari ini menyatakan rasa hairan mereka dengan isu skandal atas ranjang yang dikaitkan dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali baru-baru ini.

Ketuanya, Haniza Mohd Talha, berkata rasa hairan itu timbul kerana ia disebarkan tidak lama selepas Latheefa Koya dilantik mengetuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Semua ini terbongkar sebaik saja selepas pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM. Jadi, saya melihat ia sebagai sesuatu yang pelik," katanya dalam sidang media khas Wanita PKR di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya, hari ini.

Selain itu kata Haniza, ada beberapa percanggahan yang mengundang curiga, antaranya kenyataan dibuat pihak yang mendakwa Azmin, iaitu Haziq Abdullah Abdul Aziz.

"Dalam kenyataan Haziq, dia meminta SPRM menyiasat dakwaan rasuah membabitkan Azmin, jadi saya nampak ada kaitan di situ, seolah-olah ada pihak yang berniat jahat ingin melaga-lagakan keputusan dibuat perdana menteri dengan timbalan presiden PKR yang kononnya satu kem dengan ketua pesuruhjaya SPRM.

"Ini saya lihat sangat jelas boleh dibaca," katanya.

Kata Haniza, dengan kecanggihan teknologi yang ada hari ini apa pun tidak mustahil dilakukan bagi menyebarluaskan fitnah sedemikian.

Hal itu, katanya, termasuk mengubah suai wajah seseorang.

Azmin kena terus bertugas

Haziq baru-baru ini menggemparkan negara apabila mendakwa dia adalah individu dalam rakaman klip video seks yang dikaitkan dengan lelaki mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali di sebuah hotel di Sandakan pada 11 Mei.

Dalam pengakuannya sehari selepas video itu disebarkan, Haziq mendakwa kejadian itu dirakam tanpa pengetahuannya dan diedarkan sehari sebelumnya.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan secara bebas kesahihan klip video tersebut.

Azmin pula menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah jahat dengan niat untuk memusnahkan karier politiknya.


Baca Otai Reformis: Sikap Mahathir berbeza sungguh


Selepas penafian itu, pihak yang tidak dikenali menyebarkan satu lagi klip video skandal seks yang dikaitkan dengan timbalan presiden PKR itu dengan menjemput wartawan menyertai kumpulan WhatsApp dinamakan "Azmin Ali Part 2/4".

Haziq ialah ketua Angkata Muda Keadilan (AMK) Santubong yang juga setiausaha sulit kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Sementara itu, mengulas desakan supaya Azmin direhatkan, Haniza berkata kenyataan kumpulan terbabit tidak mengambarkan semangat perjuangan PKR melawan fitnah.

Sebaliknya Haniza berkata Azmin seharusnya perlu meneruskan tugas-tugasnya dan memberi tumpuan kepada pembangunan negara.

"Kita harus lihat ke depan untuk majukan negara. Sebab itu kita sepakat bersama menyokong kepimpinan dan bersama-sama dalam hadapi ujian ini.

"Kamiu semua (wanita PKR) menolak politik kotor yang dirancang oleh pihak tertentu," katanya.

Dalam pada itu, Haniza berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu ambil tindakan dan mengesan pihak yang menyebar video itu dengan sewenang-wenang.

Katanya, SKMM perlu bertindak segera bagi membantu polis untuk menangkap pihak terbabit.

"SKMM perlu pastikan video tersebut tidak menjadi tular kepada orang ramai," katanya.

Haniza juga berkata semua wanita PKR negeri akan membuat laporan polis supaya pelakunya disiasat.

"Laporan polis dibuat sebab kita rasa ada sesuatu yang berniat jahat lebih-lebih lagi Haziq dilaporkan mahu melarikan diri tetapi telah diberkas oleh polis," katanya.

Lihat Komen
ADS