Cadangan bagi menyeragamkam undang-undang jenayah syariah di negara ini telah diluluskan oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dalam mesyuarat mereka pada Khamis.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, pada masa ini setiap negeri mengguna pakai undang-undang kesalahan jenayah syariah yang tidak seragam peruntukan-peruntukannya.

"Ketidakseragaman itu meliputi, antara lain, jenis kesalahan dan hukuman serta kadar hukuman.

"Sebagai contoh, terdapat kesalahan-kesalahan tertentu yang boleh dikenakan hukuman sebatan di sesetengah negeri tidak boleh dikenakan hukuman sebatan di beberapa buah negeri yang lain.

"Ketidakseragaman ini, antara lain, boleh menyebabkan ketidakadilan khususnya kepada tertuduh, pihak pendakwaan dan pihak-pihak yang terlibat dalam sesuatu kes jenayah syariah," menurut kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, satu draf model undang-undang kesalahan jenayah syariah akan digubal melalui pindaan sebahagian daripada peruntukan sedia ada dan penambahan beberapa peruntukan baru di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559).

Ia katanya akan mengambilkira semua peruntukan sedia ada di bawah undang-undang kesalahan jenayah syariah yang sedang berkuatkuasa di negeri-negeri.

"Draf model undang-undang berkenaan akan dibentangkan kepada negeri-negeri melalui forum-forum tertentu bagi mendapatkan pandangan, maklum balas dan persetujuan negeri-negeri.

"Jika ia dipersetujui, draf tersebut akan dijadikan model undang-undang yang boleh dijadikan asas dan panduan kepada negeri-negeri dalam menggubal undang-undang kesalahan jenayah syariah yang seragam," jelasnya.

Pada masa ini Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 menyeragamkan bidang kuasa mahkamah yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang negeri bagi membicarakan kesalahan jenayah di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah. 

Akta ini mula-mula dikanunkan pada tahun 1965 dan waktu itu, ia dikenali sebagai Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965. 

Hukuman yang tersenarai dalam akta ini ialah denda RM1,000 dan penjara 6 bulan.