BERITA Malaysiakini

2 individu berkait skandal 1MDB dipenjara di Abu Dhabi

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Dua individu yang berkaitan skandal 1MDB telah disabitkan dan dihukum penjara di Abu Dhabi atas kesalahan jenayah kewangan.

Wall Street Journal (WSJ) melaporkan hal ini berdasarkan kenyataan mahkamah jenayah Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan memetik sumber yang biasa dengan kes tersebut.

Pengarah Urusan International Petroleum Investment Company (IPIC) Abu Dhabi  Khadem al Qubaisi dijatuhkan hukuman 15 tahun penjara, manakala Mohammed Badawy al Husseiny yang mengendalikan anak syarikat IPIC pula disabitkan hukuman penjara selama 10 tahun.

Mahkamah juga mengkehendaki kedua-dua lelaki itu untuk membayar sebanyak €$300 juta (RM1.4 bilion), setengah kepada IPIC yang dirujuk sebagai "syarikat korban" dan setengah lagi adalah denda.

"Siaran akhbar (mahkamah) tidak memperkenalkan kedua lelaki terbabit dengan nama, tetapi pihak yang akrab dengan tindakan kehakiman tersebut mengesahkan defendan yang tidak dinamakan itu ialah Al Qubaisi dan Al Husseiny.

"Peguam untuk kedua-dua lelaki dan wakil daripada Mahkamah Jenayah Abu Dhabi enggan mengulas mengenai pertuduhan (yang disabitkan itu)," lapor WSJ hari ini.

Kenyataan mahkamah hanya merujuk Al Qubaisi, yang disebut sebagai "defendan pertama" telah disabitkan dengan kesalahan "mengeksploitasi kedudukannya dan menyalahgunakan sebanyak €$149 juta (RM697 juta) setelah menjual saham yang dimilikinya untuk syarikat yang dia ketuai, tanpa mendedahkan pemilikan sahamnya, untuk €$ 210 juta (RM983 juta)."

Bagaimanapun, akhbar harian Amerika Syarikat itu memetik pihak yang biasa dengan perkara tersebut berkata sabitan ini tidak berkaitan dengan skandal 1MDB.

Kenyataan mahkamah menyatakan siasatan kes berkenaan merupakan sebahagian daripada siasatan yang lebih luas di Abu Dhabi berhubung dakwaan rasuah.

"Defendan kedua", Al Husseiny pula, disabitkan pertuduhan "mengeksploitasi kedudukannya dan memudahkan rampasan wang syarikat itu" oleh Al Qubaisi.

Sebelum ini, Al Qubaisi berkata tidak adil bagi dirinya dijadikan kambing hitam dalam skandal tersebut dan mendakwa pihak berkuasa Abu Dhabi memaksanya untuk menyerahkan aset peribadinya.

Tindakannya membawa IPIC menjadi rakan niaga utama 1MDB, kata Al Qubaisi dibuat dengan pengetahuan penuh pegawai kanan UAE.

Bagaimanapun, dia mendakwa dijadikan mangsa oleh Abu Dhabi selepas rundingan kerjasama tersebut tidak menjadi dan berbilion dolar hilang daripada syarikat pelaburan Malaysia itu.

Al Qubaisi, yang ditahan di penjara Al Wathba pada ketika itu, dilaporkan berkata rancangannya adalah untuk "mati di tempat ini (penjara) atau keluar bebas".

Menurut kes sivil Jabatan Jabatan Kehakiman (DOJ) AS, Al Qubaisi menggunakan AS$ 471 juta dana yang didakwa dicuri di dalam akaun di Luxembourg untuk membeli hartanah di Amerika Syarikat, antara lain.

Aset-aset ini menjadi sasaran DOJ.

[Baca berita penuh]