Pengurusan mengaku berlaku kebocoran sisa larut cecair
Pihak pengurusan pusat pelupusan sampah Bukit Tagar dekat Rawang mengakui berlaku kebocoran sisa larut cecair di kawasan itu pada 26 Februari lalu sewaktu ia dipindahkan dari kolam rawatan.
Pihak pengurusan pusat pelupusan sampah Bukit Tagar dekat Rawang mengakui berlaku kebocoran sisa larut cecair di kawasan itu pada 26 Februari lalu sewaktu ia dipindahkan dari kolam rawatan.
Kebocoran itu berlaku selama setengah jam akibat kegagalan mekanikal semasa sisa cecair itu dipindahkan dari satu kolam rawatan ke kolam rawatan lain.
"Dalam proses memindahkan sisa itu, berlaku kegagalan mekanikal injap yang mengawal aliran bahan tersebut," kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Azmi Khalid yang turun padang semalam untuk meninjau keadaan di pusat tersebut.
Azmi pergi melihat sendiri keadaan tapak pelupusan sampah itu yang dikatakan menjadi punca bekalan air bersih di Lembah Klang berbau minggu lalu sama ada sisa cecair yang bocor itu telah mengalir masuk ke Sungai Selangor.
Beliau bagaimanapun berkata siasatan lanjut akan dibuat bagi mengenalpasti punca kemerosotan kualiti air sungai tersebut yang menyebabkan air terawat berbau.
Pencemaran Sg Buaya
Azmi, yang diiringi Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar Datuk Rosnani Ibarahim dan Pengerusi Kumpulan Berjaya Tan Sri Vincent Tan meninjau bagaimana pusat pelupusan sampah itu beroperasi.
Pusat pelupusan itu dibina dan dikendali oleh KUB-Berjaya Enviro Sdn Bhd, sebuah syarikat usahasama antara Kumpulan Berjaya dan KUB Malaysia Bhd.
Menurut laporan Bernama, selain pusat pelupusan sampah itu, Azmi turut meninjau pencemaran di Sungai Buaya, di Kundang.
Menteri itu berkata beliau akan menyiapkan satu laporan kepada kerajaan berhubung hasil lawatannya hari Selasa dan akan menyerahkan kepada pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Azmi turut mempersoalkan kenapa Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) tidak mengambil tindakan bagi menghilangkan bau pada bekalan air kepada pengguna di Lembah Klang baru-baru ini.
Syabas katanya bukan sahaja harus merawat air dari segi kebersihan malah harus juga memastikan bekalan air tidak berbau.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.