Tugas sukar IGP perjuang kebajikan polis dan tangani aduan masyarakat
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengakui beliau berdepan tugas sukar menyeimbangkan soal kebajikan anggota polis dengan pelbagai aduan oleh masyarakat terhadap pasukan itu.
Dalam wawancara bersama The Malaysian Insight, Hamid berkata beliau tidak boleh mementingkan diri dengan hanya menitikberatkan soal kebajikan anggotanya tetapi perlu melihat sentimen yang dibangkitkan masyarakat terhadap pasukan itu.
“(Isu) kebajikan orang saya dan cara mereka menjalankan tanggungjawab perlu seiring," katanya seperti dipetik.
Abdul Hamid merujuk beberapa gesaan yang dibuatnya terhadap kerajaan termasuk kenaikan gaji dan perumahan, terutama untuk anggota berangkat rendah.
Pada masa sama, beliau berdepan aduan berkenaan dakwaan profesionalisme, korupsi serta tuduh terlibat melakukan kehilangan paksa terhadap aktivis seperti yang dinyatakan dalam inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sebelum ini.
“Penyalahgunaan kuasa akan membawa masalah kepada masyarakat, saya harus adil bukan hanya kepada anggota polis, tetapi juga kepada rakyat dan kerajaan,” katanya seperti dipetik.
Rang undang-undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) akan dibentang tahun ini selepas PDRM menyatakan persetujuannya Mei lalu.
Pada 23 Mei lalu, Hamid memberi amaran kepada anggota polis untuk menghentikan sebarang hubungan dengan tauke sindiket perjudian dan maksiat sebelum dikesan dan dikenakan tindakan.
Dalam membangkitkan masalah rasuah dalam pasukan itu pula, beliau menceritakan bagaimana seorang anggota cuba meminta 'duit kopi' daripadanya yang ketika itu dalam persaraan.
Dalam wawancara itu, Hamid berkata beliau akan terus mempergiatkan kunjungan ke balai dan ibu pejabat polis untuk melihat sendiri masalah yang dihadapi anggotanya.
“Dengan melawat mereka secara tidak rasmi, saya akan mendapat tahu lebih banyak kebenaran. Maklumat yang saya terima akan dibentangkan kepada kerajaan dan ini akan menjadi hujah yang kuat untuk meminta gaji yang lebih tinggi atau keadaan hidup yang lebih baik.
“Ia harus bergerak selari dan disebabkan itu saya mengarahkan pegawai saya untuk memutuskan hubungan dengan kumpulan penjenayah,” katanya lagi.

