Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rosmah keluar mahkamah setelah pendakwaaan persoal kehadirannya
Diterbitkan:  Jun 18, 2019 1:15 PM
Dikemaskini: 5:15 AM

KES NAJIB l Rosmah Mansor keluar dari Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur selepas pendakwaan mempersoalkan kewajaran beliau menghadiri perbicaraan kes suaminya, Najib Razak melibatkan SRC International Sdn Bhd, memandangkan beliau berpotensi menjadi saksi dalam kes itu.

Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa keterangan Rosmah telah diambil dan adalah lebih baik bagi dirinya untuk tidak berada di mahkamah bagi mengelak sebarang masalah pada masa depan.

"Rosmah berada di dalam mahkamah. Beliau berpotensi menjadi saksi dalam kes ini dan keterangan saksinya telah diambil.

“Kami tidak mahu sebarang masalah timbul kemudiannya. Kami tidak mahu dilihat menyukarkannya, ia hanya satu prosedur," jelas Sithambaram.

Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah bersependapat dengan Sithambaram kerana ia merupakan soal prosedur memandangkan keterangan Rosmah telah diambil.

Tanpa menunggu keputusan hakim mengenai kehadirannya, Rosmah keluar dari mahkamah diikuti peguamnya K Kumaraendran yang bertindak sebagai peguam pemerhati kepadanya dalam perbicaraan kes Najib itu, selepas peguam ini memohon maaf.

Ini merupakan kehadiran kali pertama Rosmah pada perbicaraan suaminya yang masuk hari ke-27 hari ini.

Rosmah, yang memakai baju kurung merah memasuki mahkamah pada 9.13 pagi semasa Muhammad Shafee menyoal balas saksi pendakwaan ke-39, bekas Pengerusi Lembaga Pengarah SRC, Ismee Ismail, 54.

Isteri bekas perdana menteri itu kemudiannya duduk di barisan hadapan galeri awam, betul-betul di belakang suaminya yang berada di dalam kandang tertuduh .

Najib, 66, menghadapi tiga tuduhan pencah amanah jenayah, satu tuduhan menyalahgunakan kuasa dan tiga tuduhan melakukan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

- Bernama

Lihat Komen
ADS