Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Kenyataan Wan Azizah bersihkan nama baik Kelantan
Diterbitkan:  Jun 18, 2019 1:24 PM
Dikemaskini: 5:24 AM

Kerajaan Kelantan menghargai kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mengesahkan bahawa kematian suku Batek, di Kuala Koh Gua Musang tiada kaitan dengan pencemaran air akibat aktiviti perlombongan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata pengesahan itu sekali gus telah membersihkan nama Kelantan yang sebelum ini dihujani pelbagai tohmahan berhubung isu itu.

"Pada peringkat awal memang banyak tuduhan dan tohmahan dilemparkan kepada Kelantan berhubung penularan penyakit yang tidak diketahui puncanya dalam kalangan masyarakat Orang Asli suku Batek.

"Namun kita bersyukur akhirnya Timbalan Perdana Menteri sendiri mengesahkan bahawa ia tiada sangkut paut dengan pencemaran air seperti didakwa hasil keputusan kajian dan ujian oleh beberapa agensi termasuk Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kesihatan," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Abd Rahman Yunus (PAS-Pasir Tumboh) yang meminta penjelasan sama ada aktiviti perlombongan mempunyai kaitan masalah yang melanda masyarakat Orang Asli ketika ini.

Terdahulu Mohd Amar menjawab soalan dikemukakan Mohd Adanan Hassan (PAS-Kelaboran) yang mahu tahu apakah usaha-usaha yang dibuat oleh kerajaan negeri bagi meningkatkan hasil kerajaan negeri dalam bidang perlombongan.

Jumaat lepas, Dr Wan Azizah dilaporkan sebagai berkata penularan penyakit dalam kalangan masyarakat Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh bukan disebabkan perlombongan bijih manganese (keluli) dan keputusan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kimia pada 12 Jun mendapati kualiti air di kawasan persampelan insitu Sungai Lebir adalah mematuhi Standard Kualiti Air Minum Kebangsaan Bagi Air Mentah.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata perkara itu turut diperkukuhkan menerusi kenyataan terbaharu daripada Kementerian Kesihatan yang melaporkan bahawa kematian suku Batek adalah berpunca daripada demam campak selain mengalami kekurangan zat.

Menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) berhubung kawalan penggunaan bahan sianida dalam aktiviti perlombongan, Mohd Amar berkata kerajaan negeri sentiasa mengambil langkah kawalan dan mengenakan syarat ketat terhadap penggunaan bahan yang boleh memudaratkan alam sekitar dan kehidupan lain.

Beliau berkata kerajaan Kelantan memang menerima maklumat berhubung penggunaan sianida namun setakat ini ia masih pada kadar terkawal.

"Sebab itu kita tekankan kerjasama dan peranan agensi lain termasuk Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta JAS memantau perkara ini agar semua peraturan dipatuhi dan tiada kesan negatif berlaku kepada alam sekitar dan kehidupan," katanya sambil menambah tindakan tegas akan diambil jika didapati pengusaha lombong melanggar peraturan yang ditetapkan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS