Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
TPM cadang Asean kongsi maklumat pesalah pedofil

Malaysia mencadangkan kerjasama perkongsian maklumat mengenai penjenayah seks antara negara Asean bagi tujuan mengekang aktiviti mereka terutama pedofil.

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata langkah tersebut penting bagi memastikan kanak-kanak dilindungi daripada eksploitasi seksual termasuk dalam talian.

"Kita nak tengok apakah cara-cara mana kerjasama antara Asean. Sebab kita sekarang nak berkongsi maklumat dan data.

"Contohnya melalui imigresen, kita mesti berkongsi maklumat agar kita tahu bahawa mereka (penjenayah seks) ada masalah sabitan atau apa-apa masalah lain di negara masing-masing agar kita dapat mengambil tindakan yang sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Keselamatan Siber 2019 Persatuan Antarabangsa Bagi Menangani Keganasan dan Keselamatan Profesional (IACSP) di Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu ketika berucap, beliau menegaskan maklumat mengenai modus operandi mereka yang pernah disabitkan kesalahan atau didakwa juga boleh digunakan oleh pihak berkuasa untuk menyiasat sama ada penjenayah ini menjadikan golongan di luar lingkungan mereka sebagai sasaran.

"Perkongsian maklumat risikan ini dapat membantu mengekang pesalah seks bersiri seperti Richard Huckle daripada menjejak kaki ke tanah air kita," katanya.

Menurut laporan berita, Huckle, 32, disifatkan sebagai pesalah pedofilia terburuk Britain yang pada 2016 disabitkan di Britain atas 71 serangan seksual yang serius ke atas kanak-kanak.

Laporan turut menyebut mangsanya dikenal pasti sebagai rakyat Malaysia dan Kemboja.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata kerajaan sedang dalam peringkat menyemak semula Dasar Keselamatan Siber Nasional (NCSP) dan mewujudkan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) yang lebih kontemporari.

Beliau berkata MCSS adalah strategi komprehensif lima tahun yang holistik, merangkumi semua aspek keselamatan siber Malaysia termasuk tadbir urus; undang-undang dan penguatkuasaan; inovasi, pembangunan industri, keselamatan teknologi dan penyelidikan & pembangunan (R & D); pembinaan kapasiti dan meningkatkan kesedaran; serta menggalakkan penglibatan serta kerjasama antarabangsa yang lebih kukuh.

"Ini termasuk penggubalan undang-undang keselamatan siber untuk mengukuhkan lagi penguatkuasaan terhadap jenayah dalam dunia siber," katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS