Terjemahan Kekurangan penyediaan kemudahan penjagaan kanak-kanak yang berterusan, dianggap sebagai punca kegagalan Malaysia untuk mencapai kesemarataan gender.

Setiausaha Kebangsaan Wanita DAP, Teresa Kok, yang ahli Parlimen Seputeh berkata, kemudahan tersebut, jika disediakan selengkapnya, akan dapat membantu meningkatkan penyertaan wanita dalam sektor tenaga kerja.

"Salah satu sebab prestasi mereka terjejas ialah kerana tiadanya kemudahan penjagaan kanak-kanak dan mekanisme sokongan lain untuk membantu wanita yang bekerja," katanya dalam perutusan sempana Hari Wanita Sedunia hari ini.

Beliau juga menyifatkan peruntukan yang tidak seberapa RM1.9 juta bagi 10 pusat penjagaan kanak-kanak pada bulan Ogos 2005 sebagai "jauh daripada mencukupi".

"Satu pelan kebangsaan akan memudahkan lebih ramai wanita menyertai sektor tenaga kerja dan memastikan mereka mempunyai sumber pendapatan sendiri," tambahnya.

Sambil mengulangi pendirian partinya dalam isu tersebut, Teresa berkata peningkatan jumlah wanita dalam pasaran tenaga kerja adalah salah satu cadangan yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-6 (1991-1995).

"Penyertaan wanita Malaysia dalam sektor tenaga kerja masih berada di sekitar 45 peratus sepanjang tempoh dua dekad lalu. Pada 1985, ia di tahap tahap 44.3 peratus, naik sedikit berbanding 46 peratus pada 2005.

"Ini amat rendah berbanding dengan di kebanyakan negara industri seperti Singapura (56 peratus), Korea Selatan(51 peratust) dan Amerika Syarikat (57 peratus)," katanya.

Kok berkata, sikap kurang mengambil berat tentang penjagaan kanak-kanak telah menjejaskan pengagihan pendapatan dan meningkatkan tiga kali ganda jumlah pembantu asing sejak tahun-tahun kebelakangan ini.

Menurut, hasil kajian Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) mendapati hanya pasangan suami-isteri yang mempunyai jumlah pendapatan bersama sebanyak RM5,000 sebulan sahaja, yang mampu menggaji pembantu rumah.

"Golongan wanita yang tidak mampu menggaji pembantu rumah tidak mempunyai pilihan, dan dalam banyak kes, mereka menjadi surirumah sepenuh masa," katanya.

Ejen perubahan

Sementara itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dalam perutusannya, menggesa supaya lebih ramai wanita menyertai gerakan pembaharuan.

Katanya, walaupun teknologi dan ekonomi semakin maju, tetapi wanita masih ketinggalan di segi perwakilan politik dan sentiasa menjadi mangsa keganasan tanpa kesempatan mendapatkan perlindungan.

Sebagai contoh, ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata kenaikan harga minyak baru-baru ini mengakibatkan wanita kini berdepan dengan beban yang lebih berat dalam memenuhi keperluan keluarga.

"Namun begitu, wanita terus didiskriminasi dalam merebut peluang-peluang dalam bidang ekonomi dan perniagaan," katanya sambil menegaskan betapa kurangnya perwakilan dari kalangan wanita di Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.

Wanita Malaysia katanya, bukan sahaja merupakan ejen perubahan dan pembaharuan, tetapi juga merupakan pemimpin yang diperlukan dalam dunia ini.

Katanya, keadilan dan hak asasi manusia akan hanya menjadi satu slogan kosong jika hak dan keperluan wanita tidak mendapat keutamaan dalam gerakan pembaharuan.

Sementara itu, dalam kenyataan, Sisters In Islam (SIS) pula berharap semakan semula kepada pindaan yang dianggap mendiskriminas wanita dalam Undang-Undang Keluarga Islam akan mengekalkan reputasi wanita dan Malaysia sebagai sebuah negara model Islam yang progresif.

"Kami memandang berat ketika undang-undang sivil dipinda untuk memberi kesamarataan antara wanita agama lain dengan lelaki undang-undang Islam pula dipinda untuk meluaskan lagi ketidaksemarataan antara wanita Islam dan lelaki Islam.

"Masalahnya bukan dengan agama, tetapi sikap kaum lelaki yang mentafsir Islam untuk melindungi status keistimewaan mereka dalam kehidupan dan menentang perubahan di sekitar mereka.

Menurut SIS lagi, Malaysia akan menjadi negara pertama yang melaporkan 'langkah kebelakang' dalam perundangan yang berkaitan dengan perlindungan hak wanita dan diskriminasi terhadap wanita.

"Adalah sesuatu yang memalukan apabila Malaysia melaporkan kepada CEDAW (Jawatankuasa Pembasmian Diskriminasi kepada Wanita) di New York Mei ini, menjadi negara pertama mengemukakan laporan seumpama itu sejak konvensyen tersebut dikuatkuasa pada 1981.

"Semua negara lain melaporkan sama ada ia tidak berubah atau ada kemajuan," katanya.

Menurut SIS lagi, dalam ucapannya Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengakui, masalah yang dihadapi oleh masyarakat Islam kontemporari hari ini, terutama wanita, tidak hanya terhad kepada yang berkaitan dengan undang-undang Syariah. Berita asal