Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mampukah RCI bebaskan kehakiman dari dihantui krisis 1988?

LAPORAN KHAS | "Apa yang berlaku di masa lalu adalah masa lalu. Saya tak mahu bercakap tentangnya."

Demikian kata bekas ketua hakim negara Salleh Abas dalam wawancara bersama The Malaysian Insight tahun lalu ketika diminta mengulas tentang krisis kehakiman 1988 yang menyaksikan pemecatannya.

Krisis kehakiman paling serius yang pernah berlaku dalam negara itu dilihat terjadi susulan pergeseran dalaman Umno pada pilihan raya parti 1987.

Meskipun Salleh tidak lagi mahu mengenang isu itu, kontroversi berhubung kehakiman sejak krisis berkenaan berlaku tiga dekad lalu belum berakhir. Terbaru, melibatkan pendedahan hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer berhubung salah laku hakim.

Kerajaan sudah menerima cadangan penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan Hamid. Ini juga merupakan masa yang sesuai untuk mengingatkan orang ramai bahawa masih wujud isu yang belum selesai dalam sistem kehakiman negara.

Krisis 1988 merupakan salah satu kontroversi kehakiman utama berlaku di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad dari 1981 hingga 2003. Ia merupakan contoh kes yang menyaksikan kuasa eksekutif dan kuasa raja didakwa campur tangan dengan kebebasan kehakiman.

Pada pemilihan Umno 1987, Dr Mahathir menang tipis 43 undi berbanding Tengku Razaleigh Hamzah bagi jawatan presiden parti.

Keputusan itu dicabar oleh 11 ahli Umno yang menyaksikan Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Umno tidak didaftar secara sah, maka ia dianggap organisasi haram.

Kes itu kemudian dibawa ke Mahkamah Agung (kini dinamakan sebagai Mahkamah Persekutuan) pada tahun berikutnya. Pada 13 Jun 1988, Salleh sepatutnya mengetuai panel penghakiman Mahkamah Agung untuk pendengaran kes itu. Namun ia tidak berlaku kerana Salleh digantung atas tuduhan salah laku dua hari sebelum perbicaraan.

Mari kira jejak semula sebab pemecatan Salleh.

Mahkamah Agung sebelum ini membuat beberapa keputusan mengejutkan dalam beberapa kes. Salah satu adalah "kes Berthelsen" pada 1986 yang menyaksikan Mahkamah Agung menolak keputusan kerajaan untuk membatalkan permit kerja dua wartawan asing, John Berthelsen dan Raphael Pura.

Susulan keputusan penghakiman itu dan beberapa kes lain yang tidak disenangi kerajaan, Mahathir memulakan pindaan perlembagaan dalam parlimen pada 1988.

Secara spesifiknya, Artikel 121 (1) Perlembagaan Persekutuan yang pada asalnya menyatakan, ".... Kuasa kehakiman Persekutuan hendaklah diletakkan di Mahkamah Tinggi" dipinda sebagai menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi, "[...] hendaklah mempunyai apa-apa bidang kuasa dan kuasa yang diberikan oleh atau di bawah undang-undang persekutuan."

Pindaan itu mengenepikan kebebasan kehakiman dan menjadikan mahkamah tertakluk kepada undang-undang persekutuan yang diluluskan di parlimen.

Tribunal enam anggota

Bagi menyatakan kekecewaan terhadap tindakan kerajaan, Salleh menulis kepada Yang Di-Pertuan Agong Sultan Iskandar Sultan Ismail dan majlis raja-raja.

Pada 27 Mei 1988, kurang daripada tiga minggu sebelum rayuan 11 ahli Umno yang mencabar kemenangan Mahathir dalam pemilihan parti didengar, Salleh dipanggil ke pejabat Mahathir dan dimaklumkan bahawa Agong ketika itu mahukan Salleh bersara sebagai ketua hakim negara kerana surat yang dikirimnya.

Salleh enggan mematuhi arahan itu. Didakwa terlibat salah laku, Salleh kemudian dibawa ke hadapan tribunal enam anggota yang terdiri daripada pegawai tinggi.

Pada 11 Jun 1988, dua hari selepas pendengaran rayuan 11 ahli Umno, tribunal itu menggantung Salleh. Salleh kemudian dipecat pada 8 Ogos 1988 oleh Yang Di-Pertua Agong berdasarkan saranan tribunal.

Salleh didakwa membuat kenyataan yang kritikal terhadap kerajaan dan dikatakan membuat dakwaan tidak benar dengan mengatakan bahawa surat yang ditulis kepada Agong adalah bagi pihak hakim lain, selain dikatakan memberi maklumat yang salah kepada media yang memburukkan kerajaan.

Sebelum pemecatan itu dibuat, Salleh mencabar keperlembagaan tribunal berkenaan dan memohon penangguhan sementara terhadap tribunal itu. Permohonan itu ditolak.

Bagaimanapun, lima hakim Mahkamah Agung yang mendengar permohonan itu memberikan arahan interlokutori terhadap tribunal berkenaan. Lima hakim itu ialah Wan Suleiman Pawanteh, George Seah, Eusoffe Abdoolcader, Mohd Azmi Kamaruddin dan Wan Hamzah Mohamed Salleh.

Susulan itu kerajaan menubuhkan tribunal kedua untuk meneliti lima hakim berkenaan yang didakwa salah laku. Wan Suleiman Pawanteh dan Seah kemudian didapati bersalah dan Agong mengarahkan penyingkiran mereka. Tiga hakim lain digantung tugas.

Penggantungan lima hakim itu juga bererti penggantungan Mahkamah Agong, seperti dikatakan Seah dalam artikel lima bahagian bertajul 'Krisis In The Judiciary' (Krisis Dalam Kehakiman) yang disiarkan pada 2004.

Episod kehakiman menyedihkan

"Pada pandangan saya, penggantungan lima hakim Mahkamah Agung, selain penggantungan ketua hakim negara Salleh Abbas - iaitu enam daripada 10 ahli atau 60 peratus Mahkamah Agung - sama dengan penggantungan keseluruhan Mahkamah Agung," tulis Seah.

Seah juga menyatakan bahawa kebanyakan penghakiman tribunal kedua terhadap lima hakim itu ditandatangani oleh tiga Mahkamah Tinggi yang lebih rendah jawatannya.

"Menggunakan istilah tentera, kolonel muda dilantik untuk menghakimi panglima. Ia merupakan gambaran tepat bagi episod menyedihkan dalam sejarah kehakiman negara ini. Ia merupakan episod yang menghumban kehakiman negara dalam situasi yang sangat sukar.

"Saya fikir, perlu dinyatakan bahawa terdapat sekurang-kurangnya 10 hakim Mahkamah Tinggi di Semenanjung dan Sabah dan Sarawak ketika itu yang lebih kanan daripada tiga hakim yang mewakili tribunal kedua. Tingkat jawatan diabaikan tanpa rasa hormat terhadap keadilan.

"Saya serahkan kepada orang awam untuk menghakimi sendiri rasional pelantikan dalam tribunal kedua itu. Apabila kekananan jawatan tidak diambil kira, apabila merit tidak bermakna apa-apa, maka apa kriterianya?" kata Seah.

Penggantungan Mahkamah Agung bererti pertikaian tentang kesahihan tribunal pertama untuk Salleh tidak dapat didengar.

Susulan penyingkiran Salleh, panel Mahkamah Agung yang terdiri daripada tiga anggota yang diterajui oleh pengganti Salleh, Abdul Hamid Omar mendengar rayuan 11 ahli Umno. Rayuan itu kemudian diketepikan.

Sementara itu, Mahathir menubuhkan 'Umno Baru' dan meneruskan pentadbiran sebagai perdana menteri. Tengku Razaleigh keluar dari Umno dan menubuhkan Semangat 46 dan terus menentang Umno Baru di bawah teraju Mahathir dalam dua pilihan raya umum iaitu pada 1990 dan 1995.

Namun, Semangat 46 tidak begitu mendapat sambutan dan akhirnya dibubarkan pada 1996. Tengku Razaleigh kemudian kembali menyertai Umno. Salleh menyertai politik pada 1995 dan bertanding di bawah Semangat 46 di kerusi parlimen. Salleh tewas kepada calon Umno.

Empat tahun kemudian, pada PRU 1999, Salleh bertanding dengan tiket PAS di Terengganu dan menang kerusi DUN Jertih. Salleh kemudian dilantik sebagai exco dalam kerajaan negeri.

Ketika menjadi exco negeri, Salleh mendedahkan bahawa susulan pemecatannya pada 1988, seorang pegawan kerajaan cuba merasuahnya agar "meninggalkan kehakiman secara senyap-senyap" dengan kerja lumayan di Jeddah, Arab Saudi.

Salleh tidak bertanding pada PRU 2004, kerana dilaporkan atas masalah kesihatan.

Mahathir mendakwa keputusan untuk menyingkirkan Salleh dibuat oleh Agong dan menurutnya, beliau hanya mengikut arahan. Namun, menurut Salleh, Agong sudah memohon maaf kepadanya.

*Tunku Abdul Majid Idris Iskandar, anakanda kepada Allahyarham Sultan Iskandar, juga mendakwa Mahathir menggunakan ayahandanya untuk memecat Salleh.

Pada 2008, Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan bayaran ex gratia kepada enam hakim. Namun, hanya empat daripada mereka yang masih hidup. Wan Suleiman dan Eusoffe sudah meninggal dunia ketika itu.

Bagaimanapun, kerajaan BN ketika itu menegaskan bahawa bayaran berkenaan tidak melambangkan pengakuan bahawa hakim berkenaan ditindas, sebaliknya hanya merupakan dana persaraan buat mereka.


*Rujuk Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times oleh Barry Wain.

BACA LAPORAN INTERAKTIF DI SINI

Lihat Komen
ADS