MP DAP, PAS 'sepakat' risau isu kaum, gesa kerajaan bertindak tangani kebimbangan
PARLIMEN | Dua ahli parlimen dari blok berbeza hari ini sama-sama membangkitkan kebimbangan terkait isu kaum ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, dengan kedua-duanya menggesa campur tangan kerajaan.
Ahli parlimen DAP, Ngeh Koo Ham (PH-Beruas), mempersoalkan penggunaan istilah “bumiputera” dalam statistik rasmi, manakala ahli parlimen PAS, Nik Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh), menggesa kerajaan memperkukuh perpaduan nasional dan menguruskan perbezaan kaum dengan lebih baik.
Dalam perbahasannya Ngeh menggesa Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menggunakan istilah “Melayu” dan bukannya “bumiputera” kerana mendakwa kategori itu turut merangkumi warga asing beragama Islam.
Sementara itu, Nik Zawawi mengingatkan bahawa sikap mencari kesalahan orang lain secara berterusan boleh memburukkan perpecahan dalam masyarakat majmuk di Malaysia.
“Barangkali kalau (boleh) saya nak tegur sikit, kalau kita asyik cari kesalahan orang lain, kita sebut itu, kita sebut ini, akhir sekali kita berkelahi sesama sendiri.
“Allah SWT jadikan kita di Malaysia ini masyarakat majmuk. Kita ada macam-macam bangsa. Kita ada suku kaum yang berbagai-bagai,” katanya.
Nik Zawawi yang juga bekas Ketua Dewan Ulama PAS Pusat menegaskan, rakyat Malaysia berkongsi kemanusiaan yang sama tanpa mengira kaum atau etnik.
“Kita sebut siapa saja - Orang Asli, orang Melayu, orang Cina, orang India, saya dengan Jelutong (macam), keluarga,” katanya merujuk kepada RSN Rayer (PH-Jelutong).
Dia turut menggesa agar lebih banyak penekanan diberikan kepada usaha perpaduan nasional menerusi Belanjawan 2027, termasuk penubuhan sebuah jawatankuasa khas yang dipengerusikan sama ada oleh perdana menteri atau timbalan perdana menteri.
Nik Zawawi menyampaikan pandangan itu ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 tanpa merujuk secara langsung kepada kenyataan Ngeh.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/10/2e5a8e34a8a2225de260020aa67f4898.jpg)
Terdahulu, Ngeh menyuarakan rasa terkejut terhadap penggunaan istilah bumiputera oleh DOSM yang didakwanya turut merangkumi warga asing beragama Islam yang menetap di Malaysia.
Ngeh membandingkan komposisi pengundi di kawasan parlimen Beruas pada 2022, iaitu 56.8 peratus Cina, 27.2 peratus Melayu, 15.2 peratus India dan kira-kira 0.9 peratus lain-lain, dengan angka penduduk bagi 2023 yang diterbitkan dalam laporan DOSM 2025.
Menurut Ngeh, laporan itu yang menyediakan data paling hampir untuk perbandingan menunjukkan penduduk Beruas terdiri daripada 47.6 peratus Cina, 34.8 peratus bumiputera, 17.1 peratus India dan 0.5 peratus lain-lain.
Laporan sama turut merekodkan bahawa bukan warganegara merangkumi 7.5 peratus daripada penduduk di Beruas.
“Ini bermakna orang Rohingya, Bangladesh, Indonesia, Pakistan dan orang Islam lain di Malaysia diklasifikasikan sebagai bumiputera,” dakwanya.
Mahu betulkan takrif
Menurut Ngeh, istilah “bumiputera” tidak terkandung dalam sebarang undang-undang Malaysia, manakala peruntukan undang-undang sedia ada hanya menyediakan tindakan afirmatif yang memberi manfaat kepada orang Melayu, masyarakat peribumi Sabah dan Sarawak serta Orang Asli.
“Jika istilah itu digunakan, ia sepatutnya dihadkan kepada tiga kumpulan rakyat Malaysia ini.
“Jika tidak, bantuan akan disalurkan kepada kumpulan yang bukan penerima manfaat yang dimaksudkan di bawah undang-undang, sekali gus mewujudkan keadaan orang luar diutamakan sedangkan rakyat sendiri diabaikan,” katanya.
Ngeh turut merujuk Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan yang menurutnya menetapkan empat kriteria bagi mentakrif orang Melayu, iaitu beragama Islam, lazim bertutur dalam bahasa Melayu, menurut adat Melayu dan dilahirkan di Persekutuan Tanah Melayu sebelum 1957 atau merupakan keturunan individu sedemikian.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/10/c0a70b1d08d8bae01f03f4053af99b55.jpg)
Dia berhujah orang Islam yang tiba di negara ini selepas 1957 tidak boleh ditakrifkan sebagai orang Melayu atau berhak menikmati keistimewaan kerajaan yang diperuntukkan kepada orang Melayu.
“Jika takrifan ini tidak diperbetulkan, kekayaan dan sumber negara kita akan digunakan untuk memperkayakan warga asing dengan mengorbankan orang Melayu, masyarakat peribumi Sabah dan Sarawak serta Orang Asli.
“Isu kemiskinan bumiputera tidak akan dapat diselesaikan jika warga asing dimasukkan kerana ramai daripada mereka datang daripada latar belakang miskin.
“Warga asing yang telah menjadi warganegara Malaysia boleh dilayan secara adil dan sama rata, tetapi mereka tidak sepatutnya diletakkan dalam kategori yang memberikan keutamaan kepada mereka berbanding rakyat sedia ada,” kata Ngeh.
Selain kriteria yang disenaraikan Ngeh, perkara 160(2) turut merangkumi keturunan individu yang memenuhi syarat sejarah berkenaan, termasuk peruntukan berkaitan kelahiran atau domisil di Persekutuan atau Singapura sebelum kemerdekaan.
Peruntukan itu tidak secara automatik mengecualikan individu yang dilahirkan selepas 1957.
Sementara itu statistik penduduk yang diterbitkan DOSM mengklasifikasikan “bumiputera” dalam kalangan warganegara Malaysia, manakala bukan warganegara direkodkan secara berasingan.
Mencelah ketika Ngeh berbahas, Radzi Jidin (PN-Putrajaya) menggesa DOSM dan kerajaan memberikan penjelasan segera berhubung dakwaan itu.
“Tanpa penjelasan, isu ini akan menjadi kontroversi apabila warga asing ditakrifkan sebagai bumiputera tanpa asas yang kukuh, dan semua orang akan mula menuntut status bumiputera.
“Ini kenyataan yang amat berbahaya,” katanya.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/08/b5841ab1f9250462fbaeaa592a33f526.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.