Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Kenyataan naib ketua tak wakili AMK’
Diterbitkan:  Jun 20, 2019 11:35 AM
Dikemaskini: 3:38 AM

Setiausaha Pemuda PKR (AMK) Ahmad Syukri Che Ab Razab menolak kenyataan naib ketuanya, Mohd Nazree Mohd Yunus bahawa sayap itu berdiri teguh bersama timbalan presiden parti itu, Mohamad Azmin Ali yang didakwa terpalit dalam video bersama seorang lelaki.

Menurut Ahmad Syukri, kenyataan Mohd Nazree tidak mewakili keseluruhan sayap pemuda.

“AMK Malaysia menafikan kenyataan tersebut dikeluarkan secara rasmi oleh AMK Malaysia dan hanya merupakan pandangan peribadi Nazree Yunus.

“Mesyuarat yang diperkatakan Nazree Yunus bukanlah mesyuarat rasmi AMK Malaysia, tetapi hanyalah pertemuan yang dianjurkan oleh (Setiausaha Politik Mohamed Azmin), Muhammad Hilman Idham,” kata Syukri melalui kenyataannya, hari ini.

Syukri berkata demikian merujuk laporan Utusan Malaysia semalam yang memetik kenyataan Nazree bahawa AMK menyokong timbalan presiden PKR itu.

Kenyataan itu dibuat selepas Nazree menghadiri mesyuarat tergempar AMK Pusat di Rumah Pemuda di Shah Alam yang dipengerusikan Hilman, malam semalam.

Selain itu, Nazree turut menggesa partinya supaya memecat Ketua AMK Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz susulan fitnah video aksi atas ranjang yang dikaitkan dengan Azmin.

Semalam PKR telah pun mengeluarkan surat tunjuk sebab terhadap Haziq kerana mengeluarkan kenyataan terbuka yang didakwa menjejaskan imej parti.

Haziq diberikan tempoh 14 hari untuk menjawab surat tunjuk sebab itu.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PKR Ahmad Kassim berkata pihaknya turut mengambil maklum penafian Azmin dan akan meneliti penjelasan sekiranya ada.

Mohd Nazree juga menegaskan sayap pemuda parti itu senantiasa berdiri teguh bersama Azmin yang juga timbalan presiden PKR dan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Sementara itu, Syukri berkata AMK menyokong keputusan biro politik PKR berhubung penularan video berkenaan.

“AMK Malaysia percaya ketetapan yang dibuat Biro Disiplin dan dipersetujui secara konsensus oleh Biro Politik PKR adalah keputusan terbaik dalam menyelesaikan kemelut yang sedang mendapat perhatian umum ini.

“AMK Malaysia juga menyeru agar semua anggota PKR untuk menghormati dan akur kepada keputusan parti.

“Dengan ini anggota PKR di semua peringkat dapat kembali fokus kepada agenda reformasi dan terus memperkasa agenda Malaysia Baru,” katanya.

Lihat Komen
ADS