Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Angkat Kelantan dan Terengganu sebagai ikon, kata ulama

MUKTAMAR PAS | Ada banyak kelebihan Kelantan dan Terengganu yang boleh dipromosikan ke seluruh negara kata Ketua Ulama PAS Pusat Dr Mahfodz Mohamed.

Katanya kedua-dua negeri yang ditadbir PAS itu boleh dijadikan sebagai ikon kejayaan parti mentadbir negeri dan dipaparkan kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh Kelantan dan Terengganu [...] bukti kejayaan PAS dalam mencorakkan pentadbiran berdasarkan Islam.

"(Kejayaan itu) mesti diangkat sebagai ikon pentadbiran PAS untuk Malaysia dalam semua aspek, seperti ketelusan, integriti, kemudahan awam, kebersihan dan sebagainya," katanya ketika berucap di Muktamar Ulama PAS di Wisma Belia Bandar dekat Kuantan hari ini,

Oleh itu, kata Mahfodz, Ulama PAS mahu media PAS dan lajnah penerangan parti itu memainkan peranan menghebahkan kejayaan PAS di Kelantan di Terengganu termasuklah melalui Tahun Melawat Kelantan dan Terengganu.

Langkah itu, katanya, adalah supaya rakyat berkunjung ke kedua-dua negara berkenaan melihat sendiri suasana dan perkembangan terkini di negeri terbabit.

Malah katanya, kajian perbandingan hasil pentadbiran PAS dengan kerajaan PH perlu juga dibuat bagi membuktikan kemampuan dan kewibawaan PAS dalam mentadbir negeri.

Itu termasuklah kajian mengenai disiplin dan etika kalangan wakil rakyat PAS juga mesti ditonjolkan agar rakyat mampu menilai bahawa kejayaan pentadbirannya adalah hasil tarbiah yang diterapkan dalam PAS.

"Kepincangan yang berlaku bawah pemerintahan kerajaan PH adalah kerana dasar mereka. Walaupun telah bertukar kulit daripada pemerintahan lama kepada pemerintahan baru.

"Namun jika dasarnya bukan dasar Islam, masalah demi masalah tetap berlaku," katanya.


N Faizal Ghazali, M Fakhrull Halim, Alyaa Alhadjri dan Lu Wei Hoong menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Komen
ADS