Paling Popular
Terkini

MUKTAMAR PAS | Sebaik saja sah tidak lagi mengemudi Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi, tampil menyampaikan ucapan terakhirnya kepada perwakilan muktamar sayap PAS itu di pusat percutian Bukit Gambang Resort City dekat Kuantan, hari ini.

Adun Batu Buruk di Terengganu itu menarik perhatian hadirin dengan beberapa isu, antaranya berkait masalah sosial dan ancaman terhadap Islam yang didakwanya semakin berleluasa pada era pemerintahan PH.

Malah yang terbaru, katanya, ketika ini bukan saja seseorang melakukan maksiat tetapi mereka berbangga dengan apa yang berlaku.

"Orang yang buat maksiat boleh buat solat dan boleh bertaubat, dan yang berlaku pada hari ini berbangga dengan maksiat.

"Apabila malu buat dosa, kita taubat. Hari ini (mereka) berbangga buat maksiat. Sehingga (ada) video-video yang menjijikkan.

"Saya pergi ke restoran nak order (pesan) ayam goreng kunyit pun rasa malu," katanya disambut ketawa dan tepukan meja oleh barisan perwakilan.

Istilah 'kunyit' itu sering dikaitkan oleh masyarakat Melayu dengan aktiviti homoseksual.

Muhammad Khalil berkata demikian sebagai merujuk isu klip video seks membabitkan Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz, yang mengaku berasmara dengan lelaki lain didakwanya Azmin Ali.

Azmin ialah salah seorang menteri kanan kabinet PH dan juga timbalan presiden PKR. Beliau menafikan terlibat dalam aksi intim berkenaan.


N Faizal Ghazali, M Fakhrull Halim, Alyaa Alhadjri dan Lu Wei Hoong menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Komen
ADS