Malaysiakini BERITA

Mantapkan agensi agama supaya ada keseragaman - Agong

Bernama

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah, institusi agama kerap menerima tekanan daripada luar seperti pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam usaha mereka menegakkan hak asasi manusia namun bertentangan dengan syariat Islam dan Perlembagaan Persekutuan.

Baginda bertitah hanya kesatuan serta kerjasama yang kukuh dapat menepis segala permintaan yang bertentangan dengan syariat Islam serta Perlembagaan Persekutuan.

“Jabatan atau agensi agama kerap berdepan dengan isu-isu semasa berkaitan hak asasi manusia yang dituntut oleh sesetengah pihak sehingga suara mereka didengar di peringkat antarabangsa.

“Hanya kesatuan serta kerjasama yang kukuh dapat menepis segala permintaan yang bertentangan dengan syariat Islam serta Perlembagaan Persekutuan,” titah baginda semasa Majlis Munaqasyah Pengurusan Hal Ehwal Islam Negeri-Negeri di bawah naungan Seri Paduka Baginda di Istana Negara, di sini hari ini.

Majlis itu adalah julung kali diadakan bersama antara Istana Negara dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atas inisiatif Seri Paduka Baginda bagi memantapkan agensi-agensi agama supaya mempunyai keseragaman.

Selain itu penganjuran majlis berkenaan juga bertujuan mendapatkan perkembangan hal ehwal agama di negeri-negeri di bawah naungan baginda iaitu Pahang, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Sementara itu baginda bertitah pemerkasaan mahkamah syariah perlu dilaksanakan secara menyeluruh bermula daripada penyediaan sumber manusia yang terlatih, kemudahan infrastruktur dan sistem teknologi maklumat yang terkini serta penyusunan semula cara kerja bagi menghasilkan penyampaian perkhidmatan keadilan yang cekap dan efisien.

Titah baginda mahkamah syariah juga mesti diberikan kebebasan melaksanakan pentadbiran keadilan syariah menurut acuan prinsip syarak.

“Sebagai contoh fungsi pengendalian kes di mahkamah syariah tidak terhad kepada pengeluaran perintah sahaja bahkan melangkaui tanggungjawab memantau dan menguatkuasakan perintah yang telah dikeluarkan agar ianya dipatuhi dan dilaksana oleh pihak-pihak tertentu,” titah baginda.

Seri Paduka Baginda bertitah bagi tujuan penyelarasan fatwa berkaitan isu-isu yang ada hubungan dengan kepentingan nasional yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan telah diambil maklum oleh Majlis Raja-Raja, adalah disyorkan supaya negeri-negeri menerima pakai dan mewartakan fatwa tersebut di peringkat negeri masing-masing.

Titah baginda ia bertujuan menjadikan keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tersebut sebagai fatwa rasmi dan hanya negeri-negeri sahaja yang mempunyai bidang kuasa untuk mewartakannya.

“Penyeragaman fatwa melalui penyiaran fatwa di dalam warta memperlihatkan solidariti negeri-negeri dalam isu-isu yang berkaitan dengan hukum syarak atau fatwa di negara ini.

“Ia juga akan memberikan gambaran dan imej yang positif terhadap pengurusan hal ehwal Islam di negara ini dalam konteks fatwa,” titah baginda.

Baginda bertitah terdapat beberapa undang-undang syariah utama telah diseragamkan di negeri-negeri namun masih terdapat satu undang-undang syariah utama yang masih belum diseragamkan iaitu undang-undang kesalahan jenayah syariah.

Baginda bertitah JAKIM melalui Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil sedang berusaha untuk berunding dan berbincang dengan negeri-negeri bagi mendapatkan maklum balas dan persetujuan untuk meminda dan menyeragamkan undang-undang kesalahan jenayah syariah di negeri-negeri.

Seramai 27 peserta menghadiri majlis itu termasuk semua Pengerusi dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri, Mufti-mufti negeri, Ketua- Ketua Hakim Syarie dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri di bawah naungan baginda.

Empat kertas kerja turut dibentangkan pada majlis itu iaitu berkaitan cadangan Pelaksanaan Diat Dalam Sistem Keadilan di Malaysia, Penambahbaikan Pelaksanaan Hadhanah di Malaysia, Penyeragaraman Undang-undang Syariah Negeri-negeri di Malaysia dan Penyeragaman Fatwa Isu-isu Nasional di Malaysia.

-Bernama