Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Sebelum ini wujud khabar angin dan cakap-cakap di luar sana bahawa proses cadangan pindaan Perlembagaan Umno adalah satu usaha tidak langsung untuk menyingkirkan individu tertentu di dalam Umno, antaranya bekas Presiden Umno Najib Razak dan Presiden semasa Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ia disuarakan oleh salah seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dalam satu hantaran video selepas perkara tersebut dibentangkan dalam MKT oleh saya.

Malah, Malaysiakini menerusi laporannya bertajuk “Mat Hasan Dalang Mahu Singkir Zahid, Najib”, bertarikh 30 Mei 2019 turut mengutip dan menyebarkan cerita dan cakap-cakap tidak berasas ini kononnya cadangan pindaan Perlembagaan Umno bertujuan untuk menyerang sesetengah individu secara khusus.

Susulan daripada laporan tidak benar yang bersifat spekulatif dan berniat jahat tersebut, saya telah membuat kenyataan balas yang tegas terhadap Malaysiakini serta semua mereka yang cuba menangguk di air keruh.

Namun, saya terpanggil untuk menjelaskan sekali lagi beberapa perkara penting yang mesti diberikan perhatian oleh semua pihak.

Pertama, tidak ada sebarang cadangan pindaan Fasal 9.9 seperti yang didakwa tersebut. Tidak ada. Malah, Malaysiakini sehingga ke saat ini gagal mengemukakan sumber serta penjelasan dari manakah mereka mendapat maklumat yang salah dan berniat jahat seperti itu.

Seperti yang boleh kita jangkakan, Malaysiakini hanya membisu, melepaskan tangan dan menebalkan muka sahaja selepas melaporkan berita yang salah tersebut.

Kedua, adalah tidak sihat untuk sesetengah pihak, sama ada di dalam atau luar Umno, khususnya mereka yang mempunyai jawatan untuk terus menyebarkan cerita dan kenyataan yang tidak tepat berhubung proses pindaan Perlembagaan Umno ini.

Ia sangat tidak matang, berniat jahat dan hanya akan membantutkan proses pemulihan Umno menjadi parti yang lebih kuat dan diyakini.

Ketiga, pindaan Perlembagaan Umno adalah satu proses yang terbuka dan berterusan. Ia bertujuan mengukuhkan struktur dan tadbir urus Umno sebagai sebuah gerakan amal bakti yang berpaksikan kepentingan rakyat.

Ia bukanlah satu proses yang baru berlaku. Sebelum ini sudah beberapa kali Perlembagaan Umno dipinda. Dan kali ini, ia dilakukan dengan tujuan yang sama iaitu untuk mengukuhkan parti.

Yang lebih penting, segala cadangan pindaan ini dilakukan selepas mendengar pandangan dan berjumpa dengan pelbagai pihak. Saya dan pasukan telah melakukan road tour dan berjumpa dengan semua perhubungan negeri di seluruh negara serta sayap-sayap parti untuk membentangkan cadangan-cadangan pindaan tersebut. Dan terakhir ialah Jawatankuasa Pengurusan.

Sepanjang proses perjumpaan dan sumbang saran ini berlaku, tidak langsung ada cadangan melucutkan keahlian mereka yang di bawa pertuduhan bagi sebarang salah laku.

Keempat, memandangkan segala cadangan pindaan ini kini sudah dibentangkan pada MKT Umno, ahli-ahli MKT Umno sebenarnya mempunyai ruang yang mencukupi untuk membahaskan perkara tersebut dan memberi pandangan konstruktif mereka.

Harapan saya ialah agar kesemua cadangan tersebut diteliti oleh ahli-ahli MKT dengan terbuka dan profesional untuk melihat sama ada ia sebenarnya bertujuan menyerang individu tertentu ataupun tidak.

Kelima, saya percaya sekiranya permainan spekulasi dan persepsi yang tidak benar seperti ini diteruskan, ia akan hanya merugi dan memalukan individu yang menyebarkannya sendiri. Kerana perkara tersebut tidak benar.

Malah, ia juga akan merugikan parti kerana kita sudah tentunya sedang dinilai dan diperhatikan oleh semua ahli dan masyarakat awam di luar sana.

Biar apa pun, perkara ini wajar diselesaikan bersama semasa MKT mengadakan retreat khusus untuk membincang pindaan Perlembagaan Umno ini.


MOHAMED KHALED NORDIN ialah naib presiden Umno.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS