Paling Popular
Terkini

MUKTAMAR PAS | PAS memberikan janji untuk tidak akan membalas dendam atau menzalimi mana-mana kakitangan awam jika parti itu diberi mandat untuk menjadi kerajaan, sama ada di peringkat negeri dan pusat.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata apa yang diikrarkan itu bukanlah janji politik sebaliknya sebahagian daripada perintan Allah.

Berucap menyampaikan ucapan dasar di Bandar Indera Mahkota, Kuantan hari ini Abdul Hadi berkata PAS mengiktiraf kesetiaan dan kesungguhan penjawat awal serta anggota keselamatan.

"PAS memberikan komitmen besar untuk mengiktiraf kesetiaan, kesungguhan dan integriti penjawat awam dan anggota keselamatan sepanjang menjalankan tugas, serta beriltizam untuk tidak menzalimi atau membalas dendam sekiranya berlaku peralihan kuasa di peringkat negeri dan Persekutuan.

"Ini bukan janji politik tetapi ajaran Islam yang diperintah Allah," katanya yang menyampaikan ucapan bertemakan Islam Memimpin Perpaduan.

Isu kesetiaan pernah timbul sejurus selepas PH menguasai Putrajaya apabila ada sesetengah dasar dan perancangan didakwa sukar dilaksanakan.

Hal itu antara lain dipercayai berpunca daripada keengganan kakitangan awam yang masih menyokong BN yang memerintah negara ini selama lebih 60 tahun.

Kerajaan kemudian melakukan beberapa perubahan dan penggantian pegawai kerajaan bagi memudahkan arahan serta pelaksanaan dasar PH.

Abdul Hadi berkata hubungan baik di antara kerajaan PAS dan kakitangan awam dapat dilihat di Kelantan dan Terengganu.

Katanya hubungan kedua-dua pihak terpelihara dengan baik.

"Ia berbeza dengan situasi yang dirasai oleh pegawai kerajaan di Putrajaya," katanya.


N Faizal Ghazali, Fakhrull Halim, Alyaa Alhadjri dan Lu Wei Hoong menyumbang untuk laporan ini.

Lihat Komen
ADS