Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

MUKTAMAR PAS | Kata Presiden PAS, orang PAS kini dapat menerima secara meluas kerjasama politik yang dijalin parti itu dengan Umno.

Menjawab soalan pemberita tentang masalah yang dihadapi PAS bagi menjayakan taawun siyasi dengan Umno, Abdul Hadi Awang menjawab, pendirian itu diambil anggota parti kerana mereka memikirkan kepentingan yang lebih luas.

“Alhamduillah. Orang Memali pun terima Umno," katanya selepas menyampaikan ucapan dasar sempena muktamar ke-65 parti itu di Stadium Tertutup Sukpa, Bandar Indera Mahkota, Kuantan hari ini.

Memali ialah sebuh kampung terletak di kawasan Baling, Kedah, yang pernah menyaksikan insiden berdarah membabitkan pasukan keselamatan negara - yang ketika itu ditunjangi Umno, dan bersama BN - dengan penyokong PAS pada 1985.

Hasil daripada pertembungan dua pihak terbabit seramai 14 orang terbunuh dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain.

Polis mendakwa insiden itu tercetus apabila operasi menangkap tokoh PAS, Allahyarham Ibrahim Mahmud - atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya - mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berdepan tentangan daripada penduduk kampung tersebut.

Ibrahim pada ketika itu dituduh mengancam keselamatan negara dan memecah-belahkan masyarakat dengan pandangannya yang dikatakan keras.


Baca 'Ana kurang faham, nak mati syahid demi Najib pula'


Bagaimanapun, PAS mendakwa operasi yang digelar dengan nama Operasi Angkara itu dilancarkan kerana bermotifkan politik bagi membendung pengaruh Ibrahim yang luas dalam pengikut PAS.

Ibrahim turut terkorban dalam insiden berdarah itu.

Walaupun kerjasama dengan Umno kelihatan disambut baik, pemerhati berpendapat ia lebih sukar diterima penyokong PAS di beberapa tempat, termasuk di Pantai Timur dan Kedah yang pernah menyaksikan pelbagai insiden di antara kedua-dua pihak.

Kata Abdul Hadi pada peringkat awal memang ada bantahan serta rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong kedua-dua parti apabila pimpinan mereka menjalin hubungan baik baru-baru ini.

“Peringkat awal tu, adalah... contohnya perasaan kerana perbezaan lama, (itu) berlaku, (tapi) dapat kita selesaikan," katanya.

Sehingga kini kata anggota parlimen Marang itu, semua isu yang menghalang kerjasama terbabit dapat diatasi.

“Ia kerana kepentingan nasional mengatasi kepentingan Memali, (mengatasi) kepentingan peribadi,” katanya yang menjadi presiden PAS sejak 17 tahun lalu.


N Faizal Ghazali, Fakhrull Halim, Alyaa Alhadjri dan Lu Wei Hoong menyumbang untuk laporan ini.

Lihat Komen
ADS