Seorang ahli perniagaan wanita yang menghadapi dua pertuduhan menipu seorang lelaki berjumlah RM32,800 untuk membantu menukar status jantina di dalam kad pengenalan seorang usahawan, mengemukakan surat representasi ke Jabatan Peguam Negara bagi mengkaji dan meneliti semula pertuduhan terhadapnya.
Peguam Izzat Al Fariz yang mewakili tertuduh Yusmiliati Mohamed Yusof, 33, berkata demikian ketika kes itu disebut di hadapan Majistret Haslinda A Raof di Mahkamah Majistret Ampang hari ini.
Mahkamah menetapkan 26 Julai untuk sebutan semula kes bagi keputusan representasi kes tersebut. Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim mewakili pihak pendakwaan.
Pada 15 Jun lepas, Yusmiliati mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan telah menipu Ashaari Maznan 43, dengan memperdayakan lelaki itu untuk menyerahkan dua keping cek masing-masing berjumlah RM13,800 dan RM19,000 untuk membantu menukar butir maklumat dalam kad pengenalan dan surat beranak, yang mangsa tidak akan menyerahkan wang itu jika tidak diperdayakan oleh tertuduh.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan RHB Bank, Ampang Point di sini jam 1 tengah hari dan 12.30 tengah hari, pada 15 Jun dan 16 Jun, 2017.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
- Bernama
