Paling Popular
Terkini

MUKTAMAR PAS | Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kini sah menjadi salah seorang naib presiden PAS apabila salah seorang penyandang jawatan itu tidak menjawab surat pengesahan pencalonannya.

Pengarah Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat Dr Mohd Fuad Mohd Salleh berkata, ada empat nama dicalonkan dan layak namun salah seorang daripada mereka tidak menyatakan keinginan untuk bertanding.

Mengumumkan perkara itu Mohd Fuad berkata tiga naib presiden PAS bagi sesi 2019 hingga 2021 ialah Mohd Amar Nik Abdullah, Idris Ahmad dan Ahmad Samsuri.

"Untuk jawatan naib presiden, hanya tiga orang yang menjawab untuk bertanding. Beliau bukan tarik diri cuma cara macam tak nak bertanding," katanya.

Sementara itu bercakap kepada pemberita kemudiannya, Mohd Fuad tidak ada sesiapa yang tahu bahawa Iskandar tidak mempertahankan jawatan naib presiden sehinggalah ia diumumkan petang ini.

Malah katanya Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan pun tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.

“Saya tak bagitahu kepada setiausaha agung, sebab saya seorang yang simpan nama-nama tu. Jadi dia tak ada maklumat,” katanya.

Tambah Mohd Fuad, penolakan pencalonan itu dibuat Iskandar sebulan lalu.

“Dalam borang pencalonan itu dia dicalonkan dua jawatan, iaitu naib presiden dan ahli jawatankuasa pusat.

“Dia tanda (memberikan persetujuan bertanding) untuk jawatan AJK sahaja. Jadi dia menolak pencalonan (naib presiden),” katanya lagi. 


N Faizal Ghazali, Fakhrull Halim, Alyaa Alhadjri dan Lu Wei Hoong menyumbang untuk laporan ini.

Lihat Komen
ADS