Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Otai Reformis pertikai Azmin semeja dengan IGP, AG
Diterbitkan:  Jun 21, 2019 5:16 PM
Dikemaskini: 9:41 AM

Otai Reformis mempertikaikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali yang duduk semeja dengan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dan Peguam Negara Tommy Thomas pada sebuah majlis rumah terbuka.

Otai Reformis merujuk gambar yang dipercayai diambil pada majlis rumah terbuka di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, semalam.

"Itu sebab Otai Reformis sarankan Azmin ambil cuti dari tugasan rasmi.

"Mana mungkin keadilan ditegakkan apabila beliau kelihatan makan minum semeja dengan peguam negara dan ketua polis negara di satu majlis Hari Raya sedangkan kes video seks beliau masih dalam siasatan pihak polis?" kata setiausaha kumpulan itu, Abdul Razak Ismail.

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa turut mengulas berhubung gambar berkenaan yang tular di media sosial

"Orang yang disiasat, orang yang menyiasat dan orang yang mendakwa makan dan gelak ketawa semeja.

"Mujur orang yang menjatuhkan hukum tidak join sekali," katanya melalui Twitter.

Untuk rekod, Azmin tidak disiasat polis, sementara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menolak gesaan agar Azmin bercuti.

Polis kini sedang menyiasat Ketua Pemuda PKR Haziq Abdullah Abdul Aziz yang tampil mengaku sebagai salah seorang individu dalam klip video seks yang tular.

Polis juga sedang menyiasat ketulenan klip video seks yang didakwa Haziq turut memaparkan Azmin.

Azmin menafikan dakwaan berkenaan dan menyifatkan ia sebagai cubaan untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Lihat Komen
ADS