Khazanah Nasional Bhd syarikat pegangan pelaburan kerajaan telah mengambil langkah-langkah hebat untuk menukar dirinya menjadi sebuah entiti komersil mengikut cara yang sama dengan Temasek Holdings Pte. Ltd, Singapura.

"Fokus Khazanah dalam memenuhi nilai pemegang saham, pemilikan aset-aset penting dari kerajaan Malaysia dan pelaburan dalam syarikat-syarikat seberang laut serupa dengan langkah yang diambil oleh Temasek dalam tahun 2002," kata penganalisis kredit Standard & Poor's Greg Pau dalam satu artikel yang bertajuk "Khazanah Nasional Berhad - A Temasek In The Making?".

"Kami percaya Khazanah kini bergerak dalam laluan yang betul iaitu memberi penekanan kepada prestasi budaya, tadbir urus korporat dan kawalan dalaman yang baik dan memperkasakan pengurusan syarikat-syarikat berkaitan," tambahnya.

Bagaimanapun, katanya, kejayaan muktamad pendekatan ini memerlukan Khazanah dan syarikat-syarikat berkaitan agar berhati-hati dalam mengimbangkan kepentingan komersil dengan peranan dasar mereka dan mengekalkan disiplin daripada peluasan dan gearan yang berlebihan.

Menurut Bernama, dalam artikelnya, Standard & Poor's menilai kesamaan dan perbezaan antara Khazanah dan Temasek dalam mandat dan strategi perniagaan mereka, menilai profil risiko Khazanah berdasarkan kepada maklumat umum yang diperolehi, membandingkan profil risiko kewangan Khazanah dengan Temasek dan menilai sokongan kewangan yang dijangkakan untuk Khazanah dari kerajaan Malaysia.

Aset komersil k'jaan

Khazanah telah diberi tangungjawab oleh kerajaan Malaysia untuk menguruskan aset komersilnya sejak tahun 1993.

Ia memiliki aset bernilai AS$16 bilion, termasuk syarikat kereta nasional, Proton, serta syarikat penjana kuasa dan telekomunikasi.

Manakala Temasek pula yang diuruskan oleh ahli perniagaan wanita terkemuka republik itu, Ho Ching isteri Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong merupakan satu daripada dua syarikat yang digunakan oleh republik itu untuk membuat pelaburan di luar negara.

Ia mengendalikan portfolio global bernilai AS$63 bilion, termasuk Syarikat Penerbangan Singapura dan syarikat-syarikat terkemukakan lain di republik tersebut, serta di Australia, China dan India.