Paling Popular
Terkini

Najib Razak hari ini berjumpa dengan pasangan aktivis antitol yang gambarnya dimuat naik oleh bekas perdana menteri itu melalui kiriman Facebook pada 7 Jun lalu.

Dalam kiriman itu, Najib menyifatkan pasangan itu - Mohd Affandi Ramli atau nama penanya Ronasina dan isterinya, Raja Rohaisham - dihasut oleh PH.

Ronasina yang merupakan kartunis dan bekas editor majalah Gila-Gila membidas tanggapan Najib dan menjelaskan bahawa dia memprotes tol bukan saja pada zaman BN, tapi juga zaman PH.

Bagaimanapun, tidak lama selepas Malaysiakini menyiarkan berita tentang perkara itu, masing-masing Najib dan Ronasina memadam kenyataan mereka.

Najib memadam hantaran berkenaan dan menyatakan hasrat untuk berjumpa pasangan itu, sementara Ronasina meminta maaf atas kirimannya yang menyifatkan Najib sebagai "bebal".

Dalam perkembangan terbaru hari ini, Najib berkongsi gambar perjumpaannya dengan pasangan berkenaan.

"Hari ini saya berkesempatan berjumpa dengan saudara Ronasina dan keluarga.

"Beliau bersama isterinya, Raja Rohaisham ada menubuhkan sebuah NGO - Hope 2 Walk bagi membantu anak-anak OKU agar diberikan bantuan dan pendidikan," katanya.

Jelas Najib, dalam perjumpaan itu, mereka menyentuh mengenai Program Permata Negara (Permata) inisiatif isterinya, Rosmah Mansor.

Program itu, kata Najib, ditubuhkan untuk membantu anak-anak dari keluarga berpendapatan rendah, dan yang memerlukan pendidikan khas seperti anak-anak autistik,

"Hari ini, (Menteri Pendidikan) Maszlee Malik tak selesa dengan nama Permata, so dia tukar jadi Genius.

"Bolehlah. Suka hati dia. Asalkan anak-anak kita terus mendapat manfaat.

"Terima kasih saudara Ronasina kerana sudi berjumpa. Semoga kita dapat melupakan yang lepas dan mara ke hadapan bersama," katanya.

Pada 15 April lalu, Maszlee mengumumkan Permata dijenamakan semula dengan nama baru Genius.

Maszlee berkata kabinet membuat keputusan itu agar inisiatif itu menjadi lebih berdaya saing dan bersemangat tinggi.

Sementara itu, ketika dihubungi Malaysiakini, Ronasina berkata pertemuan yang berlangsung kira-kira 10 minit itu sekadar memenuhi undangan Najib.

"Dia tanya pasal keluarga dan gambar yang dimuat naik pada 2007.

"Dapat undangan dua hari lepas," kata Ronasina.

Tambah Ronasina lagi, dalam pertemuan itu, mereka tidak membincangkan isu semasa atau pun politik.

Ketika dihubungi, Ronasina menegaskan sekali lagi bahawa dia memprotes tol sejak era pertama pemerintahan Dr Mahathir Mohamad.

Ditanya sama ada dia akan cenderung menyokong Najib selepas pertemuan hari ini, Ronasina berkata dia tidak berminat untuk menyokong ahli parlimen Pekan itu atau mana-mana parti.

“Saya tak sokong dia atau mana-mana pun sebab saya tak minat politik,” katanya.

Ronasina juga merupakan penulis buku 'Surat Untuk Anak'.

Lihat Komen
ADS