Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M: Pampasan ditawarkan Goldman Sachs tak cukup
Diterbitkan:  Jun 21, 2019 8:56 PM
Dikemaskini: 1:03 PM

Jumlah pampasan yang ditawarkan oleh Goldman Sachs untuk menyelesaikan kes berkaitan 1MDB dengan kerajaan Malaysia terlalu kecil, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini.

"Mereka ada tawarkan sedikit pampasan. Tidak cukup," katanya dalam wawancara bersama Bloomberg Asia yang disiarkan secara langsung di Facebook hari ini.

"Mereka tawarkan satu bilion ringgit," kata Dr Mahathir ketika ditanya.

Dr Mahathir berkata kerajaan sebelum ini menyelesaikan kes itu dengan bank berkenaan di luar mahkamah.

Bagaimanapun, katanya, bank itu kelihatan tidak mahu menawarkan jumlah pampasan yang "munasabah".

Goldman Sachs ketika ini sedang disiasat oleh kerajaan Malaysia dan Jabatan Kehakiman AS (DOJ) kerana mengatur tiga jualan bon bernilai AS$6.5 bilion untuk 1MDB.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menetapkan Isnin ini bagi tarikh pendengaran praperbicaraan untuk kes jenayah terhadap syarikat itu.

Ditanya jumlah pampasan yang dianggap munasabah, Dr Mahathir berkata kerajaan mahu 10 peratus komisen yang dikenakan Goldman Sachs untuk 1MDB dipulangkan.

Menurutnya, syarikat itu mengaut keuntungan yang banyak dengan mengenakan komisen 10 peratus sebagai bayaran tambahan selain kadar enam peratus faedah.

"Goldman Sachs mengambil 10 peratus komisen sebagai tambahan kepada kadar faedah enam peratus.

"Itu bukan sesuatu yang biasa kepada kerajaan. Kerajaan biasanya dikenakan kurang daripada tiga peratus.

"Tapi tambahan 10 peratus komisen yang diberikan kepada Goldman Sachs bererti kita dapat 90 peratus daripada wang yang diperoleh, tapi kita bayar faedah 100 peratus.

"Saya fikir Goldman Sachs mengaut keuntungan besar dalam urusan ini," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS