Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Akhtar Tahir dilaporkan berkata Ambika MA Shan dibebaskan daripada tuduhan membunuh pembantu rumahnya kerana timbalan pendakwa raya (DPP) gagal memberikan sebab munasabah untuk permohonan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) yang dibuatnya.

Menurut laman Freemalaysiatoday yang memetik penghakiman Akhtar, DPP hanya menjawab dia "diberitahu" untuk memohon DNAA selepas ditanya beberapa kali.

Kegagalan DPP untuk menjelaskan permohonan DNAA cukup sebagai sebab untuk membebaskan Ambika, katanya lagi seperti dipetik.

Faktor kesihatan dan usia Ambika, iaitu 61 tahun, juga menjadi salah satu faktor dia dibebaskan, kata laporan itu lagi.

“Berdasarkan Seksyen 254 (3) (dalam Kanun Acara Jenayah), jelas bahawa dalam hal keadaan tertentu, mahkamah mempunyai budi bicara untuk membuat keputusan membebaskan, bukannya DNAA,” katanya.

Pada 18 April, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan Ambika, 61, daripada tuduhan membunuh warga Indonesia warga Indonesia Adelina Jerima Sau.

Keputusan itu mencetuskan kemarahan ramai pihak yang menuntut Peguam Negara Tommy Thomas agar memberi penjelasan.

Menurut laporan terdahulu, Adelina dikejarkan ke hospital selepas dia didapati tidur di luar rumah, bersama anjing peliharaan majikannya.

Dia juga dilaporkan didera majikan dan ditemui jiran dalam keadaan lebam dan bernanah. Dia meninggal dunia sehari selepas dibawa ke hospital.

Anggota Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim - antara yang pertama membangkitkan kes Adelina - kemudian berkata beliau telah bercakap dengan Thomas dan peguam negara berkata akan menyiasat perkara itu.

Sumber yang arif dengan perkara itu memberitahu Malaysiakini bahawa pihak pendakwaan membuat keputusan memohon DNAA tanpa berunding dengan Thomas yang sibuk mengendalikan kes terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.

Peguam Anbananthan Yathiraju, yang mewakili tertuduh Ambika MA Shan, pula dilaporkan berkata anak guamnya tidak akan berdepan sebarang tindakan lanjut.

Bagaimanapun Thomas ketika dihubungi Malaysiakini untuk menjelaskan perkara itu berkata Pejabat Peguam Negara sudah memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan dan sedang menunggu tarikh pendengaran.