Para jemaah haji hari ini diseru berazam menjadi duta yang mengharumkan nama Malaysia dalam segala aspek semasa menunaikan ibadah haji.

Menggesa demikian, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah azam itu perlu merangkumi aspek-aspek ibadah, mematuhi undang-undang dan peraturan, amanah, berdisiplin, menepati waktu, sabar dan bertoleransi, sedia membantu serta mengutamakan kebersihan.

"Setiap jemaah hendaklah mengambil tanggungjawab bukan sekadar menjaga kebersihan, malah membantu untuk membersihkan bilik air, tandas, tempat makan dan tempat penginapan setelah digunakan.

"Budaya mengamalkan kebersihan hendaklah dijadikan sebahagian daripada komponen latihan, diberikan penegasan dan bimbingan secara serius semasa jemaah mengikuti kursus," titah baginda ketika merasmikan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Perak Musim Haji 1440/2019 di Ipoh hari ini.

Sultan Nazrin dalam pada itu menzahirkan rasa syukur kerana pihak berkuasa Arab Saudi melaporkan jemaah dari Malaysia pada tahun sebelum ini meninggalkan Mekah dan Madinah dalam keadaan bersih selepas selesai urusan haji.

Baginda juga bertitah jemaah dari Malaysia pada musim lepas telah meninggalkan imej yang memberikan identiti dan reputasi sangat positif terhadap rakyat Malaysia, maka pada tahun ini hal itu perlu dipertingkatkan.

Sambil mendoakan agar para jemaah dianugerahkan haji yang mabrur, Sultan Nazrin mengingatkan tetamu Allah supaya mengamalkan sifat persaudaraan sejati semasa di Tanah Suci dengan mengutamakan dan membantu golongan yang berada dalam kedaifan.

Seramai 2,795 orang dari negeri Perak mendapat tempat untuk mengerjakan haji tahun ini.

- Bernama