Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak perlu dedah semua hal tentang peralihan kuasa, kata Anwar

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata tiada keperluan untuk menjelaskan semua perkara dalam soal perjanjian kuasa antaranya dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

"Tak payah umum semua. Saya berpuas hati dengan beberapa pertemuan saya dengan Dr Mahathir, dan benda ini selesai. Nak korek (isu ini) ajak gaduh tu nak buat apa.

"Kamu tidak boleh minta seorang penyandang perdana menteri untuk beritahu pelbagai hal dalam soal peralihan kuasa," katanya ditemui di majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Lembah Pantai, di Kuala Lumpur, malam ini.

Anwar berkata beliau sentiasa berbincang setiap minggu dengan Mahathir dan memadai dengan mengulangi persefahaman yang dicapai sebelum ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mahathir semalam bahawa beliau tidak akan melepaskan jawatannya ketika negara dalam keadaan berantakan.

Pada masa masa beliau sekali lagi berkata akan berpegang teguh kepada janji untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar.

Tiada garis masa khusus yang ditetapkan untuk peralihan kuasa itu.

'Tiada masalah Azmin, IGP, AG duduk semeja'

Sementara itu, anggota parlimen Port Dickson itu tidak melihat tindakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali duduk semeja dengan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dan Peguam Negara Tommy Thomas - di saat siasatan video seks yang mengaitkan dirinya - sebagai satu masalah.

"Itu kebetulan majlis rasmi, saya tidak fikir itu masalah.

"Saya masih percaya kepada profesional dan integriti polis untuk buat siasatan tanpa dipengaruhi,” katanya.

Kumpulan Otai Reformasi sebelum ini mempertikai tindakan Azmin itu ketika satu majlis rumah terbuka Aidilfitri.

Mereka merujuk gambar yang dipercayai diambil pada majlis rumah terbuka di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada 20 Jun ini.

"Itu sebab kami sarankan Azmin ambil cuti dari tugasan rasmi. Mana mungkin keadilan ditegakkan apabila beliau kelihatan makan minum semeja dengan peguam negara dan ketua polis negara," kata kumpulan itu.

Azmin menyifatkan video seks itu sebagai komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya. 

Lihat Komen
ADS