Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Johari serah manuskrip 'Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM' pada polis esok

Anggota Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul berkata beliau akan menyerahkan dokumen berkaitan kepada pihak polis berhubung buku yang ditulis mengenai Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang didakwanya berunsur fitnah.

Johari berkata beliau akan berbuat demikian pada jam 10 pagi esok di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

"Saya akan menyerahkan segala-galanya kepada polis dan Bukit Aman esok, biarkan mereka menyiasatnya," katanya yang telah dipanggil oleh polis mengenai perkara itu sebelum ini.

Bercakap kepada Malaysiakini, Johari berkata beliau akan menyerahkan manuskrip buku 'Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM' yang ditulis Yahaya Ismail, bersama tangkap layar perbualan WhatsApp bersama penulis berkenaan.

Khamis lalu, Yahaya menafikan dakwaan Johari yang mengatakan Anwar diugut untuk membayar harga lebih tinggi bagi buku berkenaan.

Menurut Johari, penulis tersebut ada menghubungi beliau dengan mengatakan mahu bertemu presiden PKR itu.

"Dia maklumkan saya bahawa dia sudah siapkan buku itu dan ada orang menawarkan RM400,000.

"Jika Anwar tawarkan harga lebih tinggi, dia sanggup untuk beri buku itu kepada Anwar. Jika tidak, dia akan beri kepada individu yang sanggup menerbitkan buku berkenaan," katanya.

Yahaya kemudian mengakui ada menghubungi Johari untuk berunding bagi menjual manuskrip buku itu kepada Anwar, tetapi menafikan ia adalah ugutan.

Beliau mendakwa hanya menawarkan kepada Anwar dan Johari untuk membeli hak cipta buku berkenaan, yang didakwanya "adalah amalan biasa dalam industri penerbitan."

Untuk rekod, Anwar menghabiskan hampir satu dekad di penjara selepas didapati bersalah dalam kes liwat dan tuduhan rasuah yang dikenakan ke atasnya pada tahun 1998 dan sekali lagi pada tahun 2014.

Beliau sentiasa menegaskan dirinya tidak bersalah dan pendakwaan terhadapnya bermotifkan politik.

Anwar menerima pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong selepas Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan persekutuan pada pilihan raya umum Mei tahun lepas.

Lihat Komen
ADS