Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Parti baru? Tanya orang yang jalankan tugas presiden, kata Zahid

Presiden Umno enggan mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Hasni Mohammad bahawa parti Melayu itu mungkin menubuhkan sebuah parti baru atau menyertai parti politik sedia ada jika ia dibubarkan.

Sebaliknya, Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau menyerahkan soalan itu kepada 'Orang-orang yang menjalankan tugas presiden' bagi mendapatkan jawapan.

“Tanya dengan orang yang menjalankan tugas-tugas presiden,” katanya ringkas kepada pemberita sebelum beredar selepas selesai merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Masjid Tanah, Melaka hari ini.

Ini merupakan kemunculan pertama Zahid selepas mengumumkan keputusan bercuti dan menyerahkan tugas-tugas presiden kepada timbalannya, Mohamad Hasan pada 18 Dis tahun lalu. 

Untuk rekod Zahid menerima tekanan untuk bercuti selepas menghadapi 47 pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah dan rasuah.

Terdahulu The Star Online memetik Hasni sebagai berkata penubuhan parti baru antara langkah yang sedang dipertimbangkan Umno.

Ia susulan saman pelucuthakan sivil yang difailkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendapatkan kembali RM270 juta dana berkaitan 1MDB.

Menurut SPRM, sebahagian besar wang berkenaan iaitu sebanyak RM230 juta disalurkan ke akaun Umno melalui akaun peribadi bekas presidennya, Najib Razak.

Antara penerimanya ialah Umno bahagian Pekan, Umno bahagian Johor Bahru dan badan Perhubungan Umno di beberapa negeri termasuk Kelantan dan Selangor.

Mat Hasan harap hanya khabar angin

Sementara itu, Mohamad ketika dihubungi Malaysiakini berharap kenyataan yang dibuat Hasni hanyalah berdasarkan khabar angin.

Sebaliknya, bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata, Umno mempunyai strategi tersendiri bagi berdepan dengan pelbagai kemungkinan.

“Umno Malaysia mempunyai beberapa langkah strategi menghadapi apa jua kemungkinan.

"Cuma kami berdoa agar khabar -khabar angin tersebut tidak menjadi kenyataan,” katanya melalui pesanan Whatsapp. 

Lihat Komen
ADS