Guan Eng pertikai kelayakan kerajaan BN
Jika perbelanjaan maksima bagi pilihanraya umum lalu tidak melebihi RM88.3 juta, maka Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pendedahan pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bahawa RM110 juta dibelanjakan untuk poster sahaja, telah menimbulkan persoalan mengenai kelayakan kerajaan Barisan Nasional (BN) sekarang.
Jika perbelanjaan maksima bagi pilihanraya umum lalu tidak melebihi RM88.3 juta, maka Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pendedahan pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bahawa RM110 juta dibelanjakan untuk poster sahaja, telah menimbulkan persoalan mengenai kelayakan kerajaan Barisan Nasional (BN) sekarang.
Sambil menyifatkan pendedahan Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman itu sebagai mengejutkan, Lim berkata, perbuatan berbelanja melebihi had yang ditetapkan merupakan satu kesalahan mengikut Sekseyan 27, Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.
Katanya, kesalahan tersebut membawa hukuman denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen, hilang kelayakan sebagai wakil rakyat dan hak sebagai pengundi.
"Undang-undang tersebut adalah untuk membanteras politik wang dalam sesuatu pilihanraya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
"Untuk menyatakan bahawa RM3.5 juta telah dibelanjakan dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir baru-baru ini, bermakna calon-calon (yang bertanding) telah berbelanja melebihi had di segi undang-undang.
"Dan (dengan itu), wakil rakyat BN yang terpilih, mungkin tidak sah dan tidak dipilih secara betul dan perlu disemak semula melalui petisyen pilihanraya," tambahnya.
Had belanja pilihanraya
Lim berkata, mengikut Seksyen 19 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, perbelanjaan bagi seorang calon Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, masing-masing tidak boleh melebihi RM200,000 dan RM100,000.
"Ini bermakna sebuah parti politik seperti BN, yang bertanding di semua 219 kawasan Parlimen dan 445 dewan undangan negeri, tidak boleh berbelanja melebihi RM88.3 juta.
"Apabila Tan Sri Abdul Rashid mendedahkan bahawa sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan sebuah parti politik mengaku bahawa RM110 juta telah dibelanjakan untuk poster sahaja dalam pilihanraya umum lalu, jelas hanya BN sahaja yang mempunyai kemampuan kewangan untuk berbelanja sebanyak itu," katanya.
Menurutnya, jika itulah yang berlaku, maka mengikut Akta Kesalahan Pilihanraya, semua calon BN hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.
Katanya, jika adapun parti-parti pembangkang yang berbelanja untuk pilihanraya lalu, beliau sangsi mereka mampu mengadakan sumber kewangan walaupun untuk sekitar RM10 juta.
"Memang benar kata Tan Sri Abdul Rashid bahawa lebih baik jika dana yang besar berjumlah berjuta-juta ringgit yang dibelanjakan dalam proses pilihanraya, digunakan untuk membiayai projek-projek pembangunan," katanya.
Banteras politik wang
Bagaimanapun, tegas Lim, tugas Abdul Rashid yang lebih penting ialah memberi tumpuan kepada perkara-perkara di bawah bidangkuasanya, terutama menguatkuasakan undang-undang pilihanraya yang melarang perbelanjaan berlebihan had yang ditetapkan.
"Keengganan beliau mengambil tindakan terhadap mereka yang mengamalkan politik wang merupakan satu kegagalan sebenar beliau dalam melaksanakan tanggungjawabnya bagi memastikan SPR menegakkan undang-undang pilihanraya tanpa rasa takut dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik," tambahnya.
Menurutnya, Abdul Rashid sepatutnya lebih memberi tumpuan kepada usaha membanteras perbuatan politik wang dan bukannya bercakap mengenai poster.
Katanya, apabila Abdul Rashid mengakui beratus juta ringgit dibelanjakan melebihi had yang ditetapkan, tetapi tidak mengambil sebarang tindakan, maka ia menunjukkan SPR bukanlah sebuah badan yang adil dan tidak berat sebelah untuk mengendalikan pilihanraya secara bebas dan demokratik.
Dengan itu, katanya, SPR tiada bezanya dengan wakil-wakil parti pemerintah dan ini terbukti apabila perubahan terhadap proses dan undang-undang pilihanraya dilakukan tanpa berbincang dengan parti-parti pembangkang.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.