Abim: Jadikan tulisan jawi satu matapelajaran di sekolah
Tulisan jawi perlu diperluaskan menjadi matapelajaran di sekolah dan tidak dikaitkanya sebagai tulisan yang berunsurkan keagamaan, kata Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).
Tulisan jawi perlu diperluaskan menjadi matapelajaran di sekolah dan tidak dikaitkanya sebagai tulisan yang berunsurkan keagamaan, kata Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).
Sebaliknya, menurut Abim, tanggungjawab memelihara tulisan Jawi dan Bahasa Melayu tidak semata-mata suatu tanggungjawab kepada orang Melayu semata-mata.
"Tetapi semua bangsa yang bernaung sebagai rakyat Malaysia wajib untuk bertindak proaktif memelihara tulisan jawi dan bahasa Melayu sebagai suatu warisan milik semua," kata Setiausaha Agungnya, Khairul Arifin Mohd Munir.
Katanya, pada satu ketika dahulu, tulisan jawi digunakan dengan meluas oleh semua kaum.
"Sehingga kini masih terdapat bangsa India dan Cina yang berkemahiran membaca dan menulis dalam tulisan jawi," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sehubungan itu, katanya, Abim menyambut baik saranan pelbagai pihak untuk menghidupkan kembali akhbar Utusan Melayu dan menggesa supaya ia usaha itu disegerakan agar tulisan jawi tidak terus terkubur.
Kemahiran 3M
Jika tidak, katanya, tulisan jawi akan dikuburkan oleh orang Melayu sendiri memandangkan majoriti generasi mudanya sekarang, tidak dapat menguasai tulisan tersebut, malah ada yang tidak ambil peduli langsung tentangnya.
"Kemahiran 3M membaca, menulis dan memahami dalam tulisan jawi terus terhakis dari generasi ke generasi. Lambat laun tulisan ini mungkin terkubur dan hanya dikenali dalam lipatan sejarah," katanya.
Menurutnya, tulisan jawi mengalami proses "dikuburkan" kerana massa menganggap ia kurang nilai komersial walaupun dahulu ianya adalah tulisan rasmi dalam sebarang urusan.
"Senario yang sama juga bakal terjadi kepada Bahasa Melayu jika tiada tindakan konkrit menanganinya," tambahnya.
Oleh itu, katanya, akhbar Utusan Melayu wajar dimanfaatkan sepenuhnya di sekolah sebagai medium pembelajaran, dengan menggunakan pendekatan lebih kreatif untuk menimbulkan minat generasi muda.
Majlis tindakan
"Teknologi terkini boleh dimanfaatkan seperti mewujudkan CD Interaktif dan lamanweb dalam tulisan jawi," katanya.
Selain itu, beliau mensarankan supaya media cetak termasuk akhbar perdana berbahasa Malaysia mewujudkan satu muka penuh berita-berita yang ditulis dalam tulisan jawi.
Menurutnya, pendekatan yang sama boleh diselitkan dalam akhbar bahasa Inggeris bagi memperkenalkan tulisan jawi kepada masyarakat tulisan tersebut.
"Justeru, Abim berpandangan kerajaan perlu menubuhkan majlis tindakan mengukuhkan bahasa Melayu dan tulisan jawi yang diselanggarakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai sekretariat majlis tersebut," katanya.
Menurut Khairul Arifin lagi, majlis tersebut penting bagi mengumpulkan pandangan pelbagai pihak untuk menyusun satu pelan tindakan jangka panjang bagi mengukuhkan bahasa Melayu khususnya untuk semua kaum.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.