Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada keperluan sesi Soal Jawab PM di parlimen - Menteri

Tiada keperluan pada masa untuk mengadakan sesi khas Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di parlimen, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong.

"Kita ada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) yang dijadualkan pada hari Selasa dan Khamis dan dalam satu tahun yang lalu kita telah melihat perdana menteri akan datang untuk menjawab soalan di parlimen semasa MQT serta pada sesi soal jawab biasa.

"Jadi saya fikir sekarang ini kita tidak benar-benar memerlukan Soal Jawab Perdana Menteri lagi.

"Tetapi pada masa sekiranya perlu, maka kita mungkin boleh mempertimbangkannya. Buat masa ini, saya rasa MQT sudah memadai,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Dialog Peringkat Tinggi Negara mengenai Forum Perniagaan dan Hak Asasi Manusia di Putrajaya hari ini. 

Liew berkata sidang parlimen pada bulan Julai ini adalah "masa yang paling menarik" kerana kerajaan merancang untuk memperkenalkan beberapa rang undang-undang (RUU) yang telah menjadi agenda Pakatan Harapan (PH).

"Seperti yang kamu tahu, transformasi undang-undang tidak boleh dilakukan dalam sekelip mata, ia perlu mengambil masa dan beberapa undang-undang akan saya perkenalkan pada hari pertama (sidang parlimen) bulan Julai," katanya. 

Kata Liew beliau akan bertemu dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan esok untuk meneliti apakah undang-undang yang akan diperkenalkan, dipinda atau dimansuhkan sepenuhnya.

Beliau berkata antara RUU yang mungkin diperkenalkan dalam sidang parlimen akan datang ialah pindaan perlembagaan untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun, serta pemansuhan hukuman mati mandatori untuk kes bunuh dan RUU bagi Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

"Saya akan membuat pengumuman pada hari Isnin apabila kamu datang ke parlimen. Jika saya beritahu kamu sekarang, maka tidak akan ada kejutan pada Isnin itu, "katanya. 

Lihat Komen
ADS