Pulau Pinang dilanda jerebu
Ruang udara Pulau Pinang dilanda jerebu hari ini dengan jarak penglihatan yang dicatatkan di bahagian pulau dan Seberang Perai kurang daripada 10 kilometer.
Ruang udara Pulau Pinang dilanda jerebu hari ini dengan jarak penglihatan yang dicatatkan di bahagian pulau dan Seberang Perai kurang daripada 10 kilometer.
Jurucakap Jabatan Kajicuaca Negeri berkata sehingga jam 2.30 petang tadi, jarak penglihatan di Perai ialah sejauh enam kilometer, di Butterworth lapan kilometer dan Bayan Lepas sembilan kilometer.
"Cuaca yang panas mencecah 34 darjah celcius, tiada hujan serta faktor tempatan seperti pembakaran jerami, pencemaran asap kilang serta kenderaan terutama di kawasan perindustrian Perai, menyumbang kepada berlakunya jerebu hari ini," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata keadaan itu dijangka berterusan beberapa hari lagi bergantung kerana hujan dijangka turun pada pertengahan bulan ini.
Jurucakap Jabatan Kesihatan Negeri pula menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti luar ketika cuaca panas dan berjerebu.
"Jika menghadapi masalah kesihatan, segeralah dapatkan rawatan," katanya.

