Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Menteri tolak cadangan tubuh RCI kes kematian Adib

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin menolak cadangan untuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi kes kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

“Saya ingat tak perlu RCI untuk Adib pada ketika ini kerana kes ini berjalan dengan baik dan kita tunggu keputusan daripada koroner,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Jalinan Mesra Menteri KPKT bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Putrajaya, hari ini.

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) semalam mengulangi gesaan terhadap kerajaan agar menubuhkan RCI bagi kes kematian Adib.

Presidennya, Ibrahim Ali, menyifatkan inkues yang sedang berjalan sekarang sudah menjadi keraguan akan ketulenan dan ketelusannya.

Ibrahim berkata, ini kerana dua saksi utama inkues itu telah membuat laporan polis menyatakan mereka telah diugut pihak tertentu, manakala peguam yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pula telah menarik diri atas arahan Peguam Negara, Tommy Thomas.

Sementara itu mengulas perjalanan inkues berkaitan punca kematian Adib, Zuraida berkata beliau akan menghubungi peguam negara bagi mendapatkan nama peguam yang akan mewakili KPKT dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Inkues Adib akan bersambung 26 Jun ini, tetapi saya belum dapat lagi maklumat daripada peguam negara untuk menentukan siapa yang akan mewakili KPKT dan bomba.

“Jadi, hari ini saya akan semak dengan peguam negara untuk dapatkan nama-nama yang akan dicadangkan untuk mewakili KPKT dan bomba bagi kes tersebut,” katanya ringkas.

Adib, 24, meninggal dunia di Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur pada 17 Dis.

Peguam Syazlin Mansor sebelum ini mengumumkan menarik diri daripada inkues berkenaan kerana terdapat 'perkembangan baru'.

Thomas menjelaskan bahawa Syazlin dinasihat menarik diri kerana berada dalam konflik kepentingan apabila mewakili jabatan bomba dan KPKT, sedangkan pada masa yang sama mewakili keluarga Adib.

Pejabat Peguam Negara menegaskan bahawa pihak mereka tiada halangan untuk Syazlin terus mewakili keluarga Adib dan arahan untuk menarik diri hanya bagi KPKT dan bomba.

Pada 12 Jun lalu, Syazlin mengumumkan akan kembali mewakili keluarga Adib dalam inkues itu.

Lihat Komen
ADS